
LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA (BEM) TEROKA POTENSI KERJASAMA DENGAN NUKLEAR MALAYSIA
BANGI, 18 Jun 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang diketuai oleh YBrs. Ir. Fam Yew Hin, Ahli Lembaga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Korporat BEM, hari ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan pemahaman mengenai aplikasi teknologi dan penyelidikan nuklear dalam pelbagai sektor kejuruteraan dan industri.
Ketibaan delegasi BEM disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia. Sesi dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai peranan, kepakaran dan pencapaian diikuti dengan sesi perbincangan dan interaksi bersama pengurusan tertinggi agensi.
Perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam bidang pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi, pensijilan profesional dan pengukuhan kecekapan kejuruteraan dalam aplikasi teknologi nuklear secara selamat dan beretika.
Diharapkan kunjungan ini dapat membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mantap pada masa hadapan sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan profesional kejuruteraan dan aplikasi teknologi nuklear di Malaysia.