post-image

KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN PESURUHANJAYA TINGGI SINGAPURA KE MALAYSIA KE ATAS KETUA PENGARAH, AGENSI NUKLEAR MALAYSIA 13 JUN 2025

BANGI, 13 Jun 2025  - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat dari Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur yang diketuai oleh En. Shivakumar Nair, Timbalan Pesuruhanjaya Tinggi Singapura pada 13 Jun 2025. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk meneroka potensi hubungan kerjasama dua hala antara Singapura dan Nuklear Malaysia mengenai penggunaan tenaga dan teknologi nuklear secara aman.

Perbincangan semasa kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan turut dihadiri oleh Pengurusan Atasan dan wakil-wakil dari Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Sokongan Teknikal serta Pusat Teknologi Reaktor.

Perbincangan turut merangkumi teknologi dan kemudahan nuklear yang terdapat di Nuklear Malaysia, termasuk pelbagai produk yang telah dihasilkan melalui aplikasi teknologi nuklear. Dalam sesi tersebut, Nuklear Malaysia juga telah menawarkan kepada Singapura untuk menyertai program latihan dalam bidang reaktor penyelidikan nuklear yang dikendalikan oleh Nuklear Malaysia.