
SMK Sungai Kruit Dipilih Sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Agensi Nuklear Malaysia
Sungkai, 13 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit, Sungkai, Perak melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), sekali gus membuka ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan serta pembangunan komuniti setempat.
Bagi memulakan kerjasama ini, satu mesyuarat pelarasan telah diadakan di Bilik Gerakan sekolah dengan dihadiri oleh delegasi Nuklear Malaysia yang diketuai oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan, Dr. Shukri bin Mohd, bersama enam pegawai dari pelbagai bahagian.
Mereka telah disambut mesra oleh Pengetua SMK Sungai Kruit, Encik Amran Marhamdan. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Puan Nor Azizah binti Mohamad dan Puan Noor Aida Ahmad, serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Encik Mohd Halmi bin Miswan dan Encik Mohd Azizul Zamry.
Mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada pembentangan cadangan projek berdasarkan keperluan dan keutamaan pihak sekolah. Tiga projek utama yang dicadangkan ialah penaiktarafan Dewan Jauhari, penaiktarafan astaka padang sekolah, dan pelaksanaan program kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Encik Amran, penaiktarafan Dewan Jauhari akan memberi manfaat bukan sahaja kepada warga sekolah tetapi juga komuniti setempat kerana ia sering digunakan sebagai pusat pemindahan sementara ketika musim banjir serta lokasi utama penganjuran program akademik berskala besar. Penaiktarafan astaka pula dijangka meningkatkan motivasi pelajar dan kualiti penganjuran aktiviti sukan padang di peringkat daerah.
"Program kecemerlangan STEM pula akan direka bentuk bagi memberi manfaat kepada pelajar sekolah ini dan juga sekolah-sekolah sekitar, selaras dengan matlamat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam bidang sains dan teknologi," tambah beliau.
Kesemua cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada Nuklear Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. Pihak-pihak terlibat beriltizam untuk merealisasikan agenda Sekolah Angkat Madani ini dengan harapan agar impaknya dapat dirasai secara menyeluruh oleh warga sekolah dan masyarakat.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan holistik, perpaduan dan kesejahteraan rakyat melalui kerjasama merentas agensi.