post-image

PELANCARAN BUKU TEKNOLOGI NUKLEAR DALAM BIAK BAKA TANAMAN HIASAN MERIAHKAN PBAKL 2025

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025– Sebuah buku ilmiah bertajuk "Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan" telah dilancarkan hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta turut dihadiri oleh Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menegaskan bahawa MOSTI komited untuk memperluas penggunaan teknologi strategik termasuk teknologi nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar. Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam hasil penyelidikan saintifik, malah memperkukuh usaha MOSTI untuk menyampaikan ilmu dan inovasi kepada rakyat secara inklusif dan berterusan.

Pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan. Penerbitan buku ini juga merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan MOSTI dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman disamping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.

Usaha ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara. Sejak awal 1990-an, Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih 30 varieti mutan tanaman dan sekitar 60% daripadanya adalah tanaman hiasan berbunga dan landskap.

Turut hadir, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato' Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Syukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP dan YM. Tengku Fauziah binti Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Umum.