
Agensi Nuklear Malaysia Perkukuh Peranan di Persidangan ICARST 2025
Vienna, Austria – Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga mengenai Aplikasi Sains dan Teknologi Sinaran (ICARST 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 7 hingga 11 April 2025 di Ibu Pejabat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Persidangan berprestij ini bertindak sebagai platform perkongsian untuk perkembangan terkini aplikasi sains dan teknologi sinaran yang menghimpunkan saintis, innovator, wakil industri komuniti sains dan teknologi nuklear dari seluruh dunia.
Kunjungan dari peserta ICARST 2025 ke reruai NDT Nuklear Malaysia.
Dr. Noraishah Othman sebagai panel jemputan untuk sesi "The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session".
ICARST 2025 adalah yang terbesar dalam sejarah penganjuran kerana melibatkan 499 peserta bersemuka dan 367 peserta atas talian, serta 120 pegawai lain dalam kalangan pempamer, wakil kedutaan dan staff teknikal IAEA. Antara intipati penting yang mengisi perbincangan ICARST 2025 adalah seperti cabaran pembinaan loji perintis baharu pemprosesan sinaran, penglibatan aktif komuniti untuk perlindungan alam sekitar dan rawatan sisa, perkhidmatan ujian tanpa musnah, pemuliharaan artifak sejarah, inisiatif pemprosesan semula bahan plastik dan penggunaan teknologi penyurih dan punca terkedap dalam proses industri
Pn. Ruzalina Baharin sebagai panel untuk sesi "The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session".
Pembentangan Oral oleh Pn. Nadira Kamarudin, Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin dan Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos.
Pembentangan Poster
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) amat berbangga kerana 13 orang pegawainya telah dijemput oleh IAEA untuk menjayakan ICARST 2025 menerusi pembentangan oral dan poster, pengerusi sesi, ahli forum diskusi dan juri Anugerah Profesional Muda. Pegawai Nuklear Malaysia turut mengisi barisan panel segmen khas antaranya adalah Dr. Noraishah Othman - Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies, Dr. Ting Teo Ming- Spotlight on the NUTEC Plastics, Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin - Enhancing Global Collaboration in NDT, Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos -Radiotracer and Sealed Sources Certification for Industrial Excellence for Disaster Recovery Enhancement, Pn. Nadira Kamarudin - Radiation-Based Technology for Preservation of Cultural Heritage Objects dan Pn Ruzalina Baharin - Flagship Initiatives, Success Stories & Future Perspectives.
Pada ICARST 2025, Nuklear Malaysia turut mengadakan pameran perkhidmatan dan sumbangan ujian tanpa musnah di peringkat kebangsaan dan serantau. Penyertaan aktif pegawai Nuklear Malaysia di ICARST 2025 ini bukan sahaja mencerminkan kepakaran serta sumbangan Malaysia dalam bidang aplikasi sinaran, malah mengukuhkan lagi jaringan kerjasama antarabangsa. Peluang ini turut memberi ruang kepada pegawai Nuklear Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama strategik, sejajar dengan usaha negara memperkasa pembangunan lestari menerusi teknologi nuklear yang selamat dan inovatif.