
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL. 4/2025 & SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI NUKLEAR MALAYSIA
BANGI, 14 April 2025– Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.4/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi hari ini.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, dalam ucapannya telah menyampaikan amanat kepada seluruh warga Nuklear Malaysia yang hadir. Beliau menekankan komitmen agensi dalam memperkukuhkan peranan sebagai peneraju pembangunan teknologi nuklear negara. Sejajar dengan aspirasi 2025, beberapa fokus utama telah digariskan:
- Memperkasakan penyelidikan dan inovasi dalam bidang tenaga nuklear dan aplikasi industry;
- Memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam merealisasikan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R);
- Menganjurkan program latihan dan pembangunan kapasiti bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang nuklear; dan
- Mengukuhkan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam forum dan mesyuarat serantau.
Dr. Rosli dalam ucapannya turut menyeru kepada semua warga Nuklear Malaysia agar terus bersatu padu dan komited dalam menerajui bidang teknologi nuklear agar terus membawa Nuklear Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Majlis turut dimeriahkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk jamuan hari raya, aktiviti persembahan bahagian, pertandingan menganyam ketupat serta aktiviti santai yang lain. Suasana penuh mesra ini turut memberikan peluang kepada warga Nuklear Malaysia untuk mengeratkan silaturrahim dalam suasana yang ceria dan harmoni.
Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan & Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta warga Agensi Nuklear Malaysia.