post-image

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025 “MEMPERKASA PERKHIDMATAN AWAM AGENSI NUKLEAR MALAYSIA”

BANGI, 28 Januari 2025: Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah diadakan dengan tema Memperkasakan Perkhidmatan Awam sempena Perhimpunan Bulanan Bil.1/2025 di sini hari ini.

Dalam ucapan amanatnya, YBrs. Dr. Rosli Darmawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas dedikasi serta komitmen warga kerja Nuklear Malaysia dalam menjayakan agenda sains, teknologi dan inovasi nuklear sama ada di peringkat agensi dan negara.

"Pendekatan kerangka MADANI itu sendiri cukup luas dengan mengambil kira permasalahan keadilan sejagat. Dalam menyantuni rakyat melalui keprihatinan Agensi Nuklear Malaysia juga tidak ketinggalan. Pelbagai program telah dan akan terus dilaksanakan misalnya Kampung Angkat MADANI dan program SANTUNI MADANI".

Ujarnya lagi, ini adalah salah satu usaha penglibatan serta sumbangan agensi kerajaan khususnya Nuklear Malaysia dalam membantu rakyat meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat. Inovasi sosial memainkan peranan yang cukup penting dalam mencipta penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi, bagi mengatasi cabaran-cabaran sosial di peringkat akar umbi.

Bagi memperkuat komitmen terhadap nilai-nilai integriti, etika dan profesionalisme dalam kalangan warga Nuklear Malaysia, turut berlangsung acara lafaz ikrar integriti yang telah dipimpin oleh Encik Fitry  Kamaruzzaman, Ketua Unit Integriti Agensi Nuklear Malaysia.

Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, pengarah-pengarah bahagian serta warga kerja agensi.