post-image

BIOBAJA MIGROFAS M99 PIKAT MENTERI MOSTI

 

𝗦𝗨𝗡𝗚𝗞𝗔𝗜, 𝟯 𝗙EB 𝟮𝟬𝟮𝟯 - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang  telah hadir membuat lawatan kerja ke Projek Biobaja Migrofas M99 Nuklear Malaysia ke atas tanaman timun, peria, limau kasturi, petola, labu air, serai, kacang panjang, pisang dan kelapa sawit di Ladang EGI Green yang terletak di Sungkai, Perak.

Biobaja Migrofas ini merupakan salah satu projek R&D kelolaan Nuklear Malaysia yang mengandungi mikroorganisma berfaedah dengan pelbagai fungsi iaitu mampu mengikat nitrogen dari atmosfera, menguraikan fosfat dan kalium. Mikroorgansima berfaedah ini ialah bakteria tanah iaitu Pseudomonas Putida yang dihasilkan daripada tanah sawah padi. Penggunaan biobaja mampu meningkatkan ketersediaan nutrien makro dalam tanah untuk kegunaan tanaman, mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, mesra alam, mudah digunakan serta menyokong pertanian lestari.

Menerusi lawatan ini, pameran produk Nuklear Malaysia untuk pertanian iaitu Benih Padi IS21 (NMR152) dan NM Oligokitosan turut diadakan. Turut hadir dalam sesi lawatan ini adalah Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Rahim Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, YB Sivanesan A/L Achalingam, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Tuan Neel Azwar Abdul Karim mewakili Pegawai Daerah Batang Padang, Penghulu Mukim Sungkai, Tuan Iskandar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EGI Biotek Sdn. Bhd, YBhg. Datuk Abdul Halim Nawi, serta Pengurusan Tertinggi MOSTI dan Nuklear Malaysia.