post-image

TRAGEDI BATANG KALI: NUKLEAR MALAYSIA TERIMA PENGHARGAAN

PUTRAJAYA 19 JANUARI 2023 - Nuklear Malaysia menerima penghargaan di atas sumbangan dan khidmat bakti dalam menjayakan operasi bagi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Atas khidmat bakti yang dicurahkan menerusi operasi tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menyampaikan sijil sebagai tanda penghargaan kepada Nuklear Malaysia.

Sijil penghargaan ini telah diterima oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Rahim Harun bersempena dengan Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya. Menerusi operasi SAR tersebut, Nuklear Malaysia telah menghantar lima orang pakarnya melalui penggunaan alat Ground Penetrating Radar (GPR) untuk mengesan mangsa tragedi tanah runtuh yang hilang di Father's Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu. Hasil gabungan Nuklear Malaysia bersama dengan agensi yang lain, pencarian yang dilakukan berhasil dan berjaya menemui kesemua mangsa yang terkorban.