Teknik Neutron Serakbalik
Apa itu Teknik Neutron Serakbalik?
Teknik Neutron Serakbalik menggunakan sifat jirim yang kaya-hidrogen untuk memperlahankan neutron cepat. Interaksi di antara neutron dan jirim bergantung kepada tenaga neutron dan juga sifat sampel.
Bagaimana Teknik Neutron Serakbalik berfungsi?
Teknik Neutron Serakbalik menggunakan jisim kaya-hidrogen sebagai media bagi neutron cepat mencapai tenaga haba terma dengan cara yang lebih cekap (kurang perlanggaran) berbanding bahan yang mempunyai nukleus yang lebih berat.
Neutron boleh menembusi jirim yang tebal tanpa sebarang interaksi dengan medan elektrik (elektron atau nukleus) kerana neutron tidak mempunyai sebarang cas. Mereka boleh dihentikan melalui perlanggaran terus dengan nukleus. Menariknya, bahan terbaik untuk memperlahankan neutron cepat dan meninggikan peluang neutron cepat untuk diserap adalah bahan yang mengandungi nukleus paling ringan, iaitu nukleus hidrogen. Ini kerana pertukaran momentum dan tenaga bagi neutron yang ringan adalah paling optimum dengan zarah yang bersaiz agak sama (proton adalah satu-satunya zarah nuklear yang mempunyai saiz yang sama dengan neutron). Akibat daripada perlanggaran tersebut, neutron cepat (dalam julat tenaga di antara 0.5 ke 11 MeV) kehilangan sebahagian besar daripada tenaga dan mencapai keseimbangan terma dengan persekitaran. Neutron cepat yang kehilangan tenaga dipanggil neutron lambat atau neutron terma dan proses pemerlahanan ini dipanggil "penyederhanaan" atau "pentermaan". Neutron ini secara purata mempunyai tenaga kinetik 0.25 eV pada suhu bilik.
Di mana Teknik Neutron Serakbalik digunakan
Teknik Neutron Serakbalik digunakan sebagai penyelesaian kepada masalah loji dan sebagai kaedah untuk mengoptimumkan proses secara langsung bagi penapisan petroleum, pemasangan loji pemprosesan gas dan kimia di Malaysia, juga di rantau berdekatan. Aplikasi utama teknik ini adalah untuk menentukan aras atau antara muka antara bahan, dan mengesan endapan enap cemar bagi pelbagai jenis kapal proses, tangki simpanan dan paip. Di samping itu, ia juga digunakan untuk mengukur kehadiran lembapan dalam konkrit jambatan, penebat kapal dan air yang digunakan oleh pokok-pokok.