• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

Pemvulkanan Lateks Getah Asli

Apakah itu pemvulkanan lateks getah asli menggunakan sinaran?
Pemvulkanan lateks getah asli menggunakan sinaran merupakan satu kaedah memvulkan lateks getah asli dengan menggunakan sinaran mengion. Pemvulkanan boleh ditafsirkan sebagai satu proses mewujudkan ikatan kimia di antara molekul getah, iaitu taut silang, di dalam lateks dan membentuk suatu jaringan tiga dimensi yang mampu meningkatkan sifat elastik dan mekanikal lateks. Secara konvensional, pemvulkanan dapat dilakukan dengan memanaskan lateks bersama sulfur. Sedangkan pemvulkanan sinaran merupakan satu kaedah pemvulkan bukan sulfur yang tidak memerlukan sulfur semasa pemvulkanan dijalankan.

 

Bagaimanakah lateks getah asli divulkan dengan menggunakan sinaran?
Secara teori, pemvulkanan lateks getah asli menggunakan sinaran dapat dijalankan hanya dengan mendedahkan lateks getah kepada sinaran mengion yang bertenaga tinggi seperti sinaran gama dan alur elektron. Walau bagaimanapun, kaedah ini memerlukan kuantiti sinaran, atau dos sinaran, yang tinggi supaya lateks tersebut mencapai tahap sifat mekanikal yang boleh diterima. Oleh itu, bahan monomer akrilat dan bahan penstabil akan ditambah ke dalam lateks sebelum bermulanya proses penyinaran. Kehadiran bahan monomer akrilat dapat mengurangkan dos sinaran yang diperlukan untuk membolehkan lateks tersebut mencapai sifat mekanikal optimum. Lateks getah asli prapemvulkanan dengan sinaran akan diperoleh pada peringkat akhir proses penyinaran.  Proses pemvulkanan sinaran telah diringkas dan ditunjukkan di gambarajah beranimasi berikut.

Apakah kegunaan lateks getah asli yang divulkan dengan sinaran?
Lateks getah asli yang divulkan dengan sinaran adalah bebas daripada sulfur, cytotoxicity dan alahan yang disebabkan oleh bahan pemecut kimia. Oleh itu, ia merupakan suatu bahan berpontensi untuk penghasilan produk celupan lateks seperti sarung tangan getah, sarung jari, puting bayi, dan produk getah nipis yang mesra pengguna dan alam sekitar.