Fotostimulasi Luminesens (PSL)
Apa itu iradiasi makanan?
Iradiasi makanan adalah rawatan atas item makanan menggunakan radiasi mengion terkawal dalam masa yang tertentu untuk mencapai matlamat atau objektif tertentu.
Mengapa pengesanan makanan diiradiasi itu penting?
Pengesaan terhadap makanan diiradiasi sangat penting untuk mengawal kualiti makanan pada semua peringkat. Kaedah pengesanan makanan yang diiradiasi perlu sesuai untuk mengukur kesan radiasi terhadap dos yang diberi tanpa dipengaruhi oleh parameter lain seperti semasa pemprosesan dan penyimpanan atau jangka masa antara pemprosesan dan analisis makanan. Kawalan mutu terhadap iradiasi makanan adalah kritikal untuk memudahkan perdagangan makanan di peringkat antarabangsa dan meningkatkan keselamatan, keyakinan pengguna dan memberi pilihan kepada pengguna.
Apakah kaedah atau teknik yang ada untuk mengesan makanan yang diiradiasi?
Pengesanan iradiasi makanan adalah berdasarkan kepada kaedah fizik, kimia, mikrobiologi dan DNA (asid deoksiribonukleik).
Apa itu teknik Fotostimulasi Luminesens (PSL)?
Teknik Fotostimulasi Luminesens (PSL) ialah suatu teknik untuk mengesan makanan diiradiasi yang mengandungi serpihan mineral, terutama mineral silikat dan bahan bioinorganik seperti kalsit (cengkerang atau tulang). Sistem PSL amat sesuai untuk penyaringan pelbagai jenis makanan dengan deposit mineral, contohnya herba, rempah, perasa, buah-buahan dan sayur-sayuran, kerang, produk daging, bijirin dan ubi. Pengukuran PSL tidak memusnahkan sampel; oleh itu pengukuran boleh dibuat berulang kali. Teknik ini cepat dan melibatkan kos yang rendah untuk menyaring pelbagai jenis makanan untuk menentukan sama ada ia telah diiradiasi.
Bagaimana teknik penyaringan PSL berfungsi?
PPSL (Pulsed Photostimulated Luminescence) SUERC (Scottish Universities Environmental Research Centre) ialah alat makmal mudah alih untuk penyaringan makanan diiradiasi. Teknik PSL melibatkan pengesanan dari sejumlah kecil serpihan mineral yang terdapat pada kebanyakan makanan. Bahan mineral silikat ini menyimpan tenaga dalam pembawa cas yang terperangkap di struktur celahan atau kekotoran. Apabila terdedah kepada sinaran mengion, rangsangan optikal atas mineral akan melepaskan caj pembawa. Semasa rangsangan optikal, tenaga terperangkap akan dilepaskan dan menghasilkan isyarat luminesens yang boleh diukur dan dikesan oleh pengesan PSL dengan kiraan foton per saat.
Di mana teknik penyaringan PSL digunakan?
Di Malaysia, kajian dan perkhidmatan untuk mengesan makanan diiradiasi telah dibangunkan di Makmal Fotostimulasi Luminesens, Agensi Nuklear Malaysia. Teknik ini mampu untuk mengukur sampel secara keseluruhan atau campuran bahan organik dan bukan organik. Sistem ini lazimnya dapat mengesan lebih daripada 95% herba dan rempah yang diiradiasi. Penemuan kajian ini berguna untuk memudahkan pengendalian aplikasi iradiasi makanan di Malaysia.