post-image

KETUA PENGARAH NUKLEAR MALAYSIA SAMPAIKAN AMANAT 2026 SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL. 1/2026

BANGI, 21 Januari 2026YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, telah menyampaikan Amanat Ketua Pengarah 2026 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 1/2026, yang dihadiri oleh seluruh warga kerja agensi.

Majlis ini menjadi platform penting bagi Ketua Pengarah untuk berinteraksi dengan warga kerja serta menyampaikan hala tuju strategik agensi pada tahun 2026. Hal ini selaras dengan aspirasi kerajaan dan peranan Nuklear Malaysia sebagai agensi penyelidikan berteraskan sains, teknologi, dan inovasi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa agensi mesti mendukung aspirasi transformasi negara dan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. Setiap dasar, program, dan inisiatif perlu sejajar dengan keutamaan kerajaan serta kerangka DTNN 2030. Fokus termasuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D), mempercepat pemindahan teknologi, serta meningkatkan impak hasil penyelidikan nuklear kepada industri dan masyarakat.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya kerja berintegriti, berprestasi tinggi dan berinovasi di samping mengoptimumkan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab.

Selain itu, YBrs. Dr. Ketua Pengarah menyeru seluruh warga kerja agar terus memperkasa kerjasama antara bahagian, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda "Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi" melalui pelaksanaan inisiatif strategik di bawah DTNN 2030.

Turut hadir ialah barisan Pengurusan Tertinggi Nuklear Malaysia, pengarah-pengarah bahagian serta warga kerja agensi.