NTC 2025: PERKASA KESELAMATAN, KECEKAPAN DAN INOVASI TEKNOLOGI NUKLEAR
BANGI, 24 September 2025– Konvensyen Teknikal Nuklear Malaysia (NTC) 2025 kembali dianjurkan dengan tema "Nuclear Technology: Safety, Efficiency & Innovation", selari dengan keperluan semasa dalam pembangunan teknologi nuklear yang progresif, bertanggungjawab dan berorientasikan rakyat.

Objektif utama konvensyen ini adalah untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan kerja teknikal pegawai serta kakitangan Nuklear Malaysia melalui pembentangan kertas kerja, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga kerja dalam bidang penyelidikan, teknikal dan aplikasi nuklear, menyediakan ruang interaksi serta pertukaran idea antara penyelidik, juruteknik dan pelbagai unit dalam organisasi, serta menyokong pembangunan budaya penyelidikan dan inovasi yang bersepadu dan menyeluruh di seluruh organisasi.


Menurut Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, NTC merupakan platform penting dalam menyokong ekosistem penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear tanah air, selain memperkukuh budaya saintifik dan kolaboratif dalam kalangan warga Nuklear Malaysia.
"NTC juga menjadi wadah penting untuk memperkasa jaringan ilmu, merangsang pemikiran saintifik, dan memperkukuh kepakaran merentas pelbagai sektor teknologi nuklear," ujar beliau.

Bagi edisi tahun ini, sebanyak 108 kertas kerja telah diterima dan dibentangkan, merangkumi 48 pembentangan secara lisan (oral) dan 60 pembentangan poster. Jumlah ini menunjukkan peningkatan penglibatan warga kerja dalam aktiviti penyelidikan dan teknikal yang berterusan.
Penganjuran program ini sejajar dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang berpaksikan prinsip Nuklear Untuk Rakyat (NUR). Pendekatan ini menekankan pembangunan teknologi nuklear yang selamat, berdaya saing dan mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan masyarakat serta kemampanan ekonomi negara.
NTC 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf dan mempamerkan hasil kerja warga Nuklear Malaysia, tetapi juga memainkan peranan strategik dalam menyumbang kepada agenda nasional dalam bidang sains, teknologi dan inovasi nuklear.