HINM & TPS 2025 Tampilkan Inovasi Teknologi Nuklear Tempatan
BANGI, 4 September 2025– Program Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2025 anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berlangsung selama dua hari dengan pelbagai pengisian yang mengetengahkan inovasi teknologi nuklear negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia. Program ini bertujuan menghargai penyelidik dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta menjadi platform kerjasama strategik antara penyelidik, industri dan agensi kerajaan.

Perasmian HINM & TPS 2025 oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia

Tentera Laut Diraja Malaysia antara jemputan yang hadir ke program ini
Antara pengisian utama termasuk pelancaran buku Individual R&D Contribution Review (IRCR) 2024, serta dua produk inovasi baharu – G2 Tag Radig Meter dan BINTURONG Scan. Bertemakan "Nuklear Untuk Rakyat (NUR)", program ini turut merangkumi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan (AINK), pameran teknologi, sudut sains, ceramah, taklimat dana penyelidikan, dan padanan perniagaan.

Seramai lapan belas (18) kumpulan daripada enam (6) kategori utama telah menerima hadiah berupa pingat, sijil dan wang tunai bagi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2025

Antara aktiviti yang dijalankan sempena HINM & TPS 2025
Tahun ini, lebih 50 penyertaan AINK diterima dengan 35 projek ke peringkat akhir, melibatkan institusi pengajian tinggi dan agensi tempatan. Anugerah Khas AINK telah disumbangkan oleh Malaysian Association of Radiation Scientists (MARS) dan dianugerahkan kepada Prof. Dr. Suhairul Hashim (UTM) atas projek Wireless Transmission System for Radiation Portal Monitoring (MyRPM).
TPS 2025 turut mempamerkan perkhidmatan dan produk teras Nuklear Malaysia seperti H2 Power Edukit, Low-Cost Survey Meter, G2 Tag Radig Meter dan Autonomous Mobile Robot.
Kejayaan program ini mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam memacu inovasi, memperkukuh ekosistem teknologi nuklear, serta merealisasikan matlamat DTNN 2030 dan aspirasi RMK13.