
MENTERI MOSTI KUNJUNGI RERUAI NUKLEAR MALAYSIA DI MADANI RAKYAT 2025 KELANTAN
KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah meluangkan masa mengunjungi reruai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sempena Program MADANI Rakyat 2025 yang berlangsung di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri diberi taklimat oleh pegawai penyelidik mengenai teknologi AMoRA hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) Nuklear Malaysia. Teknologi ini direka untuk menangani cabaran dalam proses pemetaan sinaran yang sebelum ini dijalankan secara manual dan berisiko tinggi.Robot ini beroperasi secara automatik untuk menjana titik pensampelan, merekod data sinaran serta menghasilkan peta sinaran terperinci tanpa memerlukan kehadiran manusia di kawasan berbahaya.
Reruai Nuklear Malaysia turut menampilkan Kebuk Awan (Cloud Chamber) iaitu peralatan khas untuk menjejak dan memeta sinaran yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera. Demonstrasi ini berjaya menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri aplikasi penyelidikan nuklear secara langsung.
Penyertaan Nuklear Malaysia dalam Program MADANI Rakyat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pelbagai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian serta peranannya dalam menyokong pembangunan negara.
Program MADANI Rakyat yang berlangsung selama tiga hari ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi mempamerkan inovasi dan perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Keilmuan, Kesejahteraan dan Keterangkuman dalam pembangunan negara.
Turut hadir, YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pegawai-pegawai kementerian.