post-image

NUKLEAR MALAYSIA DAN IAEA JAYAKAN BENGKEL TEKNOLOGI PEMPROSESAN SINARAN PERINGKAT KEBANGSAAN

DENGKIL, 9 Julai 2025 – Di bawah inisiatif Program Kerjasama Teknikal oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Teknologi Pemprosesan Sinaran dalam Pelbagai Aplikasi yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025.

Bengkel ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar-pakar jemputan dari IAEA, pegawai penyelidik Nuklear Malaysia, serta wakil industri dan institusi pengajian tinggi yang terlibat secara langsung dalam bidang berkaitan.

Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memperkukuh dan memperluas kapasiti negara dalam mereka bentuk, mengurus serta melaksanakan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) berkaitan teknologi pemprosesan sinaran. Penekanan khusus diberikan kepada aplikasi dalam pemprosesan bahan polimer dan bahan termaju yang berpotensi tinggi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sepanjang bengkel ini, para peserta didedahkan kepada kepakaran terkini dalam bidang pemprosesan sinaran melalui sesi pembentangan dan perkongsian oleh profesional antarabangsa. Antara topik yang dibincangkan termasuk isu-isu semasa, jurang pengetahuan, inovasi, serta penyelesaian teknikal berdasarkan kejayaan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, bengkel ini turut berperanan sebagai platform untuk merangsang perbincangan strategik dan kolaboratif dalam kalangan peserta, khususnya dalam meneroka potensi teknologi pemprosesan sinaran bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Penglibatan aktif para penyelidik, ahli akademik dan pemegang taruh diharap dapat mewujudkan rangkaian kerjasama yang mantap — sejajar dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030)untuk memperkukuh ekosistem teknologi nuklear negara.