post-image

JASAMU DIKENANG: NUKLEAR MALAYSIA RAIKAN DR. ROSLI DARMAWAN

BANGI, 2 Julai 2025 - YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merupakan figura penting dalam landskap teknologi nuklear negara. Beliau bukan sahaja seorang pegawai penyelidik yang berdedikasi, malah juga seorang pemimpin berwawasan yang telah mencurahkan lebih 33 tahun berkhidmat cemerlang dalam bidang sains dan teknologi nuklear.

Bermula sebagai Pegawai Penyelidik pada tahun 1991, YBrs. Dr. Rosli telah meniti tangga kerjaya dengan penuh komitmen dan integriti sehingga diberi amanah untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Nuklear Malaysia mulai tahun 2023.

Hari ini bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Nuklear Malaysia Bil. 6/ 2025, telah diadakan Majlis Jasamu Dikenang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Dr. Rosli yang bakal bersara wajib setelah lebih tiga dekad berkhidmat sebagai penjawat awam di Nuklear Malaysia.

Kredibiliti dan kepimpinan yang ditonjolkan oleh YBrs. Dr. Rosli sepanjang tempoh perkhidmatannya telah meletakkan beliau sebagai peneraju dalam barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan Nuklear Malaysia dalam bidang sains dan teknologi nuklear di peringkat nasional dan antarabangsa.

Segala jasa dan komitmen yang telah dicurahkan amat dihargai oleh seluruh warga Nuklear Malaysia. Di bawah kepimpinannya, agensi ini telah berjaya mengorak langkah lebih maju dan berdiri standing dengan negara-negara lain dalam bidang berkaitan.

Bakti dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan telah memberikan impak yang besar kepada negara, khususnya dalam memperkasa perkembangan sains dan teknologi nuklear.

Adalah diharapkan agar YBrs. Dr. Rosli terus menyumbangkan kepakaran dan pengalaman beliau, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan rasmi.

Seluruh warga Nuklear Malaysia mengucapkan Selamat Hari Lahir dan Selamat Bersara kepada YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan.