
NEO@School Semarakkan STEM di SMK Sungai Ramal, Kajang
KAJANG, 25 Jun 2025- Karnival STEM di SMK Sungai Ramal berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 300 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Program ini menjadi lebih menarik dengan penyertaan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerusi inisiatif outreach "NEO@School" yang bertujuan memperkenalkan teknologi nuklear secara aman kepada generasi muda.
Antara pengisian utama daripada Unit Jangkau Luar, Bahagian Pengurusan Maklumat, adalah Menjejak Zarah Radioaktif dengan Kebuk Awan. Melalui aktiviti ini pelajar berpeluang melihat sendiri jejak zarah alfa dan beta melalui kebuk awan elektrik, memberikan gambaran visual yang unik terhadap konsep sinaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Selain itu, pelajar juga diperkenalkan dengan alat pengesan sinaran iaitu Meter Tinjau (Survey Meter). Melalui aktiviti "Mr Gamma: Ukur Sinaran" ini pelajar mencuba sendiri bagaimana sinaran dikesan dalam persekitaran harian. Nuklear Malaysia turut menyediakan permainan interaktif STEM yang mencabar minda dan menggalakkan pembelajaran secara santai.
Manakala, Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) membawa Model Gamma Green House (GGH) sebagai ilustrasi kaedah penyinaran dos rendah secara berterusan yang digunakan untuk mengaruh mutasi secara kronik dalam tanaman bagi tujuan pembiakbakaan varieti baharu. Pelajar turut diberi pendedahan kepada teknologi kultur tisu, yang berperanan mempercepatkan proses biak baka mutasi serta menjimatkan masa dan sumber dalam bidang pertanian.
Aplikasi teknologi nuklear dalam penyinaran makanan juga diterangkan dengan menggunakan dua petri dish kacang kuda – satu disinarkan, satu tidak disinarkan. Hasilnya, pelajar dapat melihat sendiri kesan penyinaran terhadap ketahanan makanan, kacang kuda yang disinarkan mempunyai jangka hayat lebih panjang.
Kehadiran pelajar SMK Sg. Ramal yang aktif bertanya dan mencuba aktiviti telah membuktikan keberkesanan pendekatan hands-on dalam menyemai minat terhadap sains dan teknologi nuklear. Program NEO@School terus komited membawa ilmu ke sekolah-sekolah bagi membina generasi celik sains yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Program ini turut melibatkan petugas dari pelbagai bahagian dalam Nuklear Malaysia iaitu En. Mustapha Akil daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Pn. Norzehan Ngadiron dan Pn. Khalilah Dukol daripada Bahagian Pengurusan Maklumat, serta Pn. Leyreina Merry Anak Paul Vencent daripada Bahagian Teknologi Industri.