
NUKLEAR MALAYSIA TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN JABATAN PERTANIAN MALAYSIA MENERUSI KERJASAMA DALAM TEKNOLOGI EBEAM & X-RAY
PUTRAJAYA, 25 Jun 2025 - Teknologi nuklear telah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia. Peranan teknologi nuklear dijangka akan semakin meningkat pada masa hadapan. Ini selaras dengan kemajuan pesat industri yang semakin berkembang serta kelebihan teknologi nuklear sebagai penyelesaian secara kos efektif yang merentasi pelbagai sektor.
Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi peluang kerjasama dalam teknologi nuklear di sektor pertanian negara, YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia.
Sesi kunjungan hormat yang berlangsung Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Jabatan Pertanian Putrajaya ini telah membincangkan berkaitan penerokaan aplikasi teknologi eBeam/X-ray yang berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuk industri makanan, pertanian serta perindustrian.
Antara perkara yang turut dibincangkan semasa sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan keperluan pelaksanaan bengkel kajian analisis bagi kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi memperkenalkan teknologi tersebut dengan lebih meluas di Malaysia.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai daripada Nuklear Malaysia.
Diharapkan menerusi sesi kunjungan hormat ini ianya dapat membuka ruang bagi potensi kerjasama yang lebih kukuh selaras dengan hasrat serta keperluan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam memfokuskan kepada peranan teknologi nuklear ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing.