post-image

KURSUS PEMERKASAAN JATI DIRI KUKUHKAN SAHSIAH DAN KESEJAHTERAAN EMOSI WARGA NUKLEAR MALAYSIA

BANGI, 11 Jun 2025 - Seramai 50 orang peserta daripada pelbagai bahagian dan latar belakang perkhidmatan telah menyertai Kursus Pemerkasaan Jati Diri anjuran AKRAB Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang berlangsung pada 10 hingga 11 Jun 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.

Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif susulan daripada dapatan UjianDepression, Anxiety, Stress Scale (DASS) tahun 2023 yang menunjukkan seramai 32 kakitangan berumur antara 31 hingga 40 tahun mencatatkan skor kebimbangan pada tahap rendah. Meskipun jumlah tersebut tidak besar, dapatan ini menjadi indikator awal terhadap keperluan melaksanakan intervensi yang lebih berfokus, khususnya dalam aspek kesedaran kendiri dan pengurusan tekanan secara berkesan.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan menyifatkan kursus ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh nilai peribadi, membina kekuatan dalaman serta mempertingkat penghayatan elemen kerohanian dalam kalangan warga kerja.

Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan psikologi penjawat awam tidak seharusnya hanya bergantung pada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan kesedaran diri yang mendalam serta kejelasan terhadap tujuan dan peranan masing-masing.

"Kita mahu melahirkan warga kerja yang seimbang bukan sahaja cekap dalam tugas, malah stabil dari segi emosi dan berdaya tahan dalam menangani tekanan kerja dengan bijaksana," katanya.

Kursus ini diharap dapat memberi manfaat menyeluruh kepada para peserta khususnya dalam membina sahsiah diri yang mantap, meningkatkan kefahaman terhadap kemahiran insaniah serta menyokong kesejahteraan emosi dalam persekitaran kerja seharian.

Turut hadir ialah YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan merangkap Penyelaras AKRAB Nuklear Malaysia dan YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran merangkap Pengerusi AKRAB Nuklear Malaysia.