
LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH NUKLEAR MALAYSIA KE PROJEK JETI KASIH DI BAWAH INISIATIF PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI
KOTA BHARU, 27 April 2025 -YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Projek Jeti Kasih di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.
Jeti ini dibina menggunakan teknologi inovasi struktur terapung biokomposit yang mesra alam, terdiri daripada bahan biokomposit dan modul apungan 'radiation crosslinked HDPE (RX-HDPE)' yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar-pakar penyelidik daripada Nuklear Malaysia.
Menariknya, jeti ini juga dimanfaatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat untuk operasi menyelamat mangsa lemas dan kecemasan di sungai berkenaan.
Selain itu, jeti kasih ini juga digunakan oleh penduduk setempat untuk dijadikan sebagai pusat hub operasi menyelamat, pengkalan serta menjadi salah satu daya tarikan ekopelancongan.