post-image

KETUA PENGARAH NUKLEAR MALAYSIA RAIKAN AIDILFITRI BERSAMA KOMUNITI KAMPUNG SUNGAI BUAH

DENGKIL, 20 April 2025– Meriah dan penuh kemesraan! YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan menyantuni komuniti Kg. Sungai Buah bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dataran Tasik Impian.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada dua inisiatif terbaik di bawah Kerajaan MADANI iaitu Program Santuni MADANI dan Program Kampung Angkat MADANI. Program Santuni MADANI (Satu Pemimpin Satu Kampung) ini bertujuan mendekatkan pemimpin dengan komuniti melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti setempat.

Sementara itu, Program Kampung Angkat MADANI pula memfokuskan kepada pembangunan kampung secara menyeluruh, di mana Nuklear Malaysia mengambil peranan aktif dalam membimbing dan membantu menaik taraf sesebuah kampung. Di bawah inisiatif ini, Kg. Sungai Buah secara rasmi menjadi Kampung Angkat kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

 

Dalam majlis yang sama, Dr. Rosli turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penduduk, berkongsi senyuman dan mengeratkan silaturrahim.

Pelbagai pengisian turut memeriahkan majlis, antaranya penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak, pertandingan nyanyian lagu raya, pertandingan busana raya serta kemuncak acara iaitu pertunjukan bunga api.

Turut hadir, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM serta YBrs. Tuan Haji Izaham bin Haji Ishak, Ketua Kampung Sungai Buah yang sama-sama menyokong inisiatif memperkasa komuniti ini.