Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Tolok Ketebalan Setara Plumbum

Tolok ketebalan setara Plumbum merupakan salah satu projek inovasi Kumpulan Fizik Perubatan yang telah memenangi Pingat Emas semasa Hari Inovasi Nuklear Malaysia pada tahun 2010. Pada asasnya, tolok ini telah direkacipta untuk mengukur ketebalan setara Plumbum bagi pakaian perlindungan sinaran yang diguna dalam bidang radiologi diagnostik seperti apron berPlumbum, pelindung tiroid, pelindung gonad dan pelindung ovari. Tolok ketebalan setara Plumbum ini terdiri daripada empat bahagian utama iaitu: (i) Pengesan sintilasi Ludlum model 44-71 untuk mengesan sinaran dalam unit dos atau kadar dos; (ii) Perisai Plumbum dengan ketebalan 0.1 – 0.2 mmPb diguna untuk membangunkan lengkung tentukuran; (iii) Punca radioaktif Americium-241 dengan tenaga gamma 59 keV setara dengan tenaga sinar-X yang terhasil daripada tiub sinar-X dengan keupayaan maksimum 150 kV; dan (iv) Komputer riba serta perisian untuk pengumpulan data secara automatik. Kini, rekabentuk tolok ini telah ditambahbaik dengan mengambilkira penggunaannya yang lebih meluas untuk mengukur pelbagai jenis bahan, bentuk dan saiz sampel perisai sinaran yang akan diguna dalam pelbagai bidang seperti perubatan nuklear, perindustrian dan pertahanan. Contoh sampel yang telah diukur menggunakan tolok ini ialah konkrit dan kapur Barium untuk pembinaan struktur bilik penyinaran sinar-X perubatan. Selain itu, tolok ini diguna oleh beberapa orang pelajar PhD untuk mengukur ketebalan sampel-sampel bahan yang boleh dijadikan perisai alternatif sebagai pelindung sinaran.

 

image1

Tolok ketebalan setara plumbum.

 

 


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.