Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Pembilang Sintilasi Cecair, Quantulus 1220 (Ultra rendah)

Pembilang sintilasi cecair, Quantulus ialah pembilang khusus untuk alam sekitar yang kecekapannya terbukti tiada tandingan untuk mengukur kepekatan yang sangat rendah bagi radionuklid buatan manusia, kosmogenik dan lain-lain radionuklid semula jadi. Peralatan ini digunakan untuk pembilangan alfa/beta, khususnya untuk sampel yang mengandungi campuran sinaran alfa/beta/gama. Ia mempunyai kecekapan pembilangan yang tinggi dengan latar belakang 3H yang rendah. Teknik mencampurkan bahan aktif dengan sintilator cecair untuk membolehkan pembilangan yang lebih cekap telah digunakan untuk mengukur keaktifan sampel radioaktif dan membilang pancaran foton yang terhasil. Sesetengah bahan sebatian kimia dan sampel yang sangat berwarna boleh mengganggu proses pembilangan. Gangguan ini dikenali sebagai pelindapan (quenching), boleh diatasi melalui pembetulan data atau penyediaan sampel yang cermat. Pemancar beta bertenaga tinggi seperti fosforus-32 (32P) juga boleh dibilang dalam pembilang sintilasi tanpa koktel, sebagai ganti menggunakan larutan akueus. Teknik ini dikenali sebagai pembilangan Cerenkov yang bergantung kepada sinaran Cerenkov yang dikesan secara langsung oleh tiub ‘photomultiplier’. Teknik Cerenkov biasanya digunakan untuk pengukuran yang cepat dan kasar kerana geometri sampel boleh menghasilkan kepelbagaian output. Peralatan ini sesuai untuk penggunaan seperti tentumur radiokarbon dan pembilangan Cerenkov. Peralatan ini memenuhi permintaan agensi-agensi swasta dan kerajaan terutamanya untuk pengukuran radionuklid tritium (3H) dalam sampel urin, air dan ais.

Pembilang sintilasi cecair ultra rendah


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.