Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Penentukur Dos

Penentukur dos ialah alat yang diguna untuk mengukur aktiviti bahan radiofarmaseutikal sebelum disuntik ke dalam badan pesakit untuk mendiagnos atau merawat (terapi) penyakit dalam perubatan nuklear. Alat ini dapat memberi bacaan radioaktiviti secara terus dan cepat dalam unit Becquerel (Bq) atau Curie (Ci). Dalam perubatan nuklear, aktiviti bahan radioaktif seperti Technetium-99m, Iodin-131 dan Fluorin-18 perlu ditentukan bagi memastikan ketepatan dos yang diberi kepada pesakit. Terdapat dua unit penentukur dos di Makmal Standard Perubatan Nuklear, Kumpulan Fizik Perubatan iaitu Penentukur Radionuklid Standard Sekunder Fidelis dan Penentukur Dos model CRC-15R (Rajah 9). Penentukur Radionuklid Standard Sekunder Fidelis merupakan penentukur dos standard rujukan kebangsaan yang diguna dalam aktiviti tentukuran penentukur dos yang terdapat di pusat-pusat perubatan nuklear dan kemudahan penghasilan radioisotop di Malaysia. Ia mempunyai kebolehkesanan kepada National Physical Laboratory (NPL) di United Kingdom. Penentukur Dos model CRC-15R pula diguna untuk aktiviti-aktiviti penyelidikan berkaitan perubatan nuklear dan latihan kepada pelajar-pelajar/pelatih-pelatih di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Makmal ini juga mempunyai empat jenis punca radioaktif standard yang diguna untuk aktiviti tentukuran, penyelidikan dan latihan iaitu Cobalt-57, Barium-133, Caesium-137 dan Cobalt-60. Calicheck kit yang diguna untuk menentukan penyusutan Technetium-99m dalam ujian kelinearan dalam tentukuran penentukur dos juga terdapat di makmal ini. Dengan menggunakan kit ini, tempoh masa untuk ujian kelinearan dapat dikurangkan daripada tiga jam kepada 6 minit sahaja bagi mendapatkan bacaan penyusutan sebanyak sepuluh kali separuh hayat.

image1
(a) Penentukur Radionuklid Standard Sekunder Fidelis. (b) Penentukur Dos model CRC-15R. (c) Calicheck kit yang diguna dalam ujian kelinearan untuk tentukuran penentukur


 


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.