Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Eksplorasi Sumber Asli

Eksplorasi Torium Di Malaysia
Agensi Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diamanahkan untuk menjalankan kajian potensi penggunaan torium sebagai punca tenaga bagi menjanakan kuasa nuklear di Malaysia (THORIUM FLAGSHIP DSTIN PROJECT). Kajian ini telah diluluskan pada bulan 15 Ogos 2014 dan melibatkan beberapa subprojek. Satu daripada subprojek tersebut adalah subprojek 1.1: Pemetaan sumber dan bekalan torium (Thorium Resources and Supply). Untuk subprojek ini, kajian akan difokus kepada penentuan dan taburan sumber torium di Malaysia. Kajian akan dilakukan dalam dua pendekatan yang berbeza iaitu kajian secara bukan konvensional dan pendekatan secara konvensional.

 

Pendekatan Bukan Konvensional
Kajian dengan menggunakan pendekatan secara bukan konvensional akan menganggarkan jumlah sumber torium sedia ada daripada lombong-lombong dan kilang-kilang amang yang masih beroperasi yang mempunyai bahan asas torium seperti monasit, xenotim dan sebagainya. Monasit mengandungi sehingga 7 peratus torium sementara xenotim hanya mengandungi kurang dari 1 peratus torium. Maklumat tentang mineral yang mengandungi torium akan dibuat semasa lawatan ke kilang amang (Rajah 1 dan 2). Anggaran jumlah torium semasa dapat dikira berdasarkan kepada peratusan kandungannya dalam mineral berkenaan. Walaupun aktiviti fasa ini tamat pada penghujung tahun 2015, maklumat kedudukan stok mineral torium akan dikemaskini setiap bulan sehingga tahun 2018.

 

Pendekatan Konvensional
Pendekatan konvensional meliputi survei untuk mendapatkan sumber torium dari batuan, alluvium dan sebagainya. Aktiviti ini dijangka memakan masa antara 2 - 3 tahun.  Penjelajahan khusus untuk torium tidak pernah dilakukan di Malaysia. Namun demikian, pengetahuan tentang kewujudan kawasan yang mempunyai kepekatan torium yang tinggi diperolehi dari hasil kajian penjelajahan uranium yang pernah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains dari tahun 1984 to 1995. Kawasan yang mempunyai kepekatan punca torium tinggi adalah Bukit Keluang, Bukit Damar, Sungai Perdak, Kompleks Igneus Benom-Benta dan  granit Bukit Tinggi di Pahang; granit Nal - Bakar - Terekak, dan kompleks igneus Krai di  Kelantan. Kajian akan melibatkan kerja-kerja pemetaan geologi, kajian geofizik, survei radiometrik, pengorekan dan pembinaan lubang gerudi di kawasan berpotensi.

 

Senarai projek-projek penyelidikan semasa yang dilakukan:

  • Thorium Flagship: Pemetaan sumber thorium di Malaysia.
  • TC Project on  “Exploring the Potential of Thorium Resources for Possible Commercial By-product Extraction” (MAL2007).

 

image1

Rajah 1: Monasit di kilang BEH Minerals Sdn. Bhd., Lahat, Perak

 

image2

Rajah 2: Monasit di kilang Universal Minerals Trading Sdn. Bhd., Chenderiang, Perak

 

image3

Rajah 3: Kadar dos dari sinar gama daripada batuan meta-syenit adalah 1.426 µSv/jam (bacaan latarbelakang ialah 0.11 µSv/jam). Lokasi di kaki Gunung Benum, Raub, Pahang

 

image4

Rajah 4: Persampelan sedimen sungai di Sg. Chalit, Raub, Pahang

 


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.