Kegagalan cerun, kejadian tanah runtuh dan ketidakstabilan fondasi (tanah mendap) biasanya tidak berlaku secara spontan. Terdapat faktor atau sebab saintifik bagi setiap kegagalan yang berlaku dan kebiasaannya kegagalan tidak berlaku tanpa ada tanda-tanda amaran sekiranya kawasan sensitif sedimikian dipantau dengan rapi. Dalam konteks ini, tugas meramalkan punca kegagalan yang tepat sememangnya sukar, kerana punca kegagalan muktamad adalah bergantung kepada beberapa faktor yang terdiri daripada struktur geologi di kawasan tersebut sehinggalah kepada perubahan guna tanah. Pendekatan terbaik mendokumenkan tanda awal kegagalan ialah dengan memantau peningkatan kadar pergerakan tanah mana-mana kawasan yang tidak stabil / berpotensi mengalami risiko keruntuhan cerun (zon setempat) dan bagaimana ianya berubah terhadap masa.
Diketahui secara umum bahawa air adalah salah satu faktor utama yang menjurus kepada ketidakstabilan cerun yang mana ianya berkecenderungan melembutkan tanah sehingga mengakibatkan kegagalan cerun atau ketidakstabilan fondasi (tanah mendap) boleh terjadi. Turun naik paras air bawah tanah dan corak pergerakannya secara mendadak di kawasan cerun dan pergerakan aliran yang tidak bagus (contoh kehadiran air bertakung di bawah permukaan) atau kemunculan laluan air resapan dalam kawasan muka bumi bercerun adalah antara parameter penting yang perlu dipantau dengan teliti. Hujan yang berpanjangan pada intensiti sederhana atau lebat merupakan faktor pencetus utama berlakunya kebanyakan kejadian tanah runtuh di Malaysia terutamanya di kawasan lereng-lereng bukit.
Satu projek penyelidikan perintis baru jangka panjang atas dasar usaha sama yang melibatkan beberapa agensi kerajaan telah dicadangkan pada tahun 2014 menggunakan pembiayaan khas peruntukan MOSTI di bawah RMK-10 pada lokasi cerun berpotensi risiko dan kemungkinan terjadi mendapan tanah di dalam kawasan SMK Bukit Tinggi, Bukit Tinggi-Bentong Pahang. Projek ini yang telah dimulakan oleh Nuklear Malaysia (kumpulan penyurih sekitaran alam sekitar) baru sahaja bermula sekitar pertengahan 2015 untuk tempoh kajian selama 30 bulan melalui koleksi dan pembangunan pangkalan data yang sesuai menggunakan teknik bersepadu iaitu: pencirian (“cap jari”) isotop semulajadi air dan pergerakan penyurih, penilaian geofizik (kerintangan elektrik, seismik, TDR), penggunaan instrumen geoteknikal dan teknologi konvensional (tekstur tanah & ujian pemadatan, kelembapan tanah, pemantauan turun naik air /tekanan leliang dalam lubang gerudi, data hujan, dan lain-lain).Namun demikian, penglibatan/penggunaan sistem pemantauan -teknologi TDR di anggap sebagai pendekatan yang agak baru dan memberi sokongan dalam menyediakan maklumat berguna khususnya mengenai kedudukan satah gelongsoran/ pergerakan tanah yang dianggap sangat berguna bagi mengenalpasti kemungkinan tanda-tanda kegagalan cerun yang akan berlaku atau ketidakstabilan fondasi (back filled area) bangunan.
Pemerhatian di antara saling hubungan berbagai jenis badan air (sumber-sumber air) yang dikumpulkan dan dianalisis secara berkala dalam kawasan kajian dari segi perubahan pencirian isotop stabil air, hidro-kimia, mekanisme imbuhan air, kekeruhan, kadar penyusupan, dan lain-lain di jangka memberi maklumat yang berguna mengenai "petunjuk" tentang laluan aliran turun naik paras air bawah tanah, pergerakan saliran yang tidak bagus yang membawa kepada kebarangkalian berlakunya tanah runtuh atau kestabilan fondasi (mendapan tanah)pada masa hadapan.
Peta Google Earth menunjukkan lokasi kajian (SMK Bukit Tinggi, Bentong Pahang)
SMK Bukit Tinggi, Bentong Pahang
Runtuhan cerun berdekatan kawasan SMK Bukit Tinggi
Retakan memanjang yang biasa berlaku pada bangunan dan lantai
Pemetaan bawah permukaan menggunakan teknik kerentangan elektrik
Tinjauan seismik yang dijalankan
Senarai Projek Penyelidikan yang telah dan sedang dilaksanakan berkaitan ketidakstabilan cerun , tanah runtuh, dan penilaian risiko terbina alam sekitar
Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.