Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Automated Storage & Retrieval System (ASRS) untuk Pengendalian Sisa Radioaktif

Sistem Simpanan dan Pengambilan Semula Automatik (ASRS) merupakan kaedah kawalan berkomputer untuk menyimpan dan mendapatkan semula muatan daripada tempat simpanan. Sistem ini terdiri daripada beberapa komponen utama seperti komputer kawalan, rak penyimpan, jentera bergerak, stesen mengambil dan menghantar, bekas penyimpan seperti palet, bakul, atau bekas, jalur rel, dan peralatan pengangkut.

ASRS dibangunkan bagi mengendali operasi simpanan dan pengambilan semula sisa radioaktif di dalam Kemudahan Interim Stor bagi pengurusan sisa radioaktif yang terdapat di Nuklear Malaysia. Sebelum ASRS dibangunkan, operasi simpanan dan pengambilan sisa radioaktif telah dijalankan menggunakan foklif atau nama lainnya trak angkat susun. Hal ini boleh menyebabkan pendedahan sinaran radioaktif secara langsung kepada pemandu serta kakitangan yang mengendalikan sisa radioaktif ini.

Sistem ini menggunakan jentera di mana sisa radioaktif dihantar, diletakkan dan diambil semula daripada rak simpanan melalui pusat kawalan yang terletak jauh daripada rak simpanan sisa. Sistem pengoperasian berasaskan kawalan komputer dapat mengenalpasti nombor palet dan lokasi rak seterusnya mengawal pergerakan jentera pengangkut dari satu lokasi ke rak yang dimaksudkan.

Sistem ASRS ternyata sangat bermanfaat mengurangkan dedahan radiologi kepada kakitangan yang mengendalikan kemudahan simpanan sisa radioaktif dan merupakan salah satu inisiatif bagi perlindungan sinaran kepada pekerja.


asrs.png

 



Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.