Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Projek Thorium Flagship

Nuklear Malaysia sebagai agensi P&P dalam bidang teknologi nuklear telah dipertanggungjawab melaksanakan projek penyelidikan berimpak tinggi mengenai torium. Selepas beberapa siri penilaian, MOSTI telah meluluskan tiga sub-projek Torium (Jadual 8. 14) di bawah Program Flagship DSTIN MOSTI pada tahun 2014 untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun yang bermula dari 2014 hingga 2018. Tujuan utama projek ini dijalankan ialah untuk mengkaji kebolehdapatan torium sebagai bahan api nuklear alternatif menggantikan uranium untuk diguna dalam reaktor penyelidikan pada masa hadapan. Selain itu, kajian ini diberi keutamaan kerana banyak sumber mineral seperti monazit yang mengandungi torium dijumpai di Malaysia. Tambahan pula, kandungan torium dalam beberapa mineral lebih tinggi berbanding uranium dan kurang menghasilkan sisa radioaktif. Dengan itu, ekplorasi bagi elemen ini harus dilakukan untuk memastikan kebolehdapatan daripada sumber semula jadi tempatan.

Aspek penting lain ialah hubung kait dengan unsur nadir bumi di dalam mineral induknya. Unsur nadir bumi telah mendapat permintaan yang tinggi disebabkan harganya mahal dan pemprosesan mineral nadir bumi akan menghasilkan sisa radioaktif dengan kepekatan torium yang tinggi. Dalam hal ini, torium boleh dihasilkan melalui pengekstrakan sisa radioaktif tersebut yang mana penggunaannya sebagai bahan api nuklear akhirnya dapat menyelesaikan masalah longgokan sisa radioaktif.

Projek ini akan dijalankan di kedua-dua skala penyelidikan iaitu di makmal dan juga ditambahbaik untuk pengeluaran berskala besar di loji perintis. Proses loji perintis ini penting kerana kemampuan menghasilkan kuantiti torium yang diperlukan untuk ke peringkat seterusnya iaitu pembuatan bahan api. Kajian akan dijalankan dengan kerjasama kolaborator di dalam dan luar negara; sokongan daripada universiti dan agensi tempatan, khasnya UKM, UMP dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah diperolehi.



Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.