SIRI KAUNSELING  

 MENU:| SIRI 1 |

Komunikasi Cantik (Petikan daripada Kaunselor Nuklear Malaysia)

Cantik! Sepatah perkataan yang terlalu sinonim dengan wanita. Sebagai wanita, semenjak zaman kanak-kanak hinggalah ke usia menginjak dewasa dan seterusnya menjadi tua, perkataan cantik selalu dilagukan ditelinga dan ditanam diminda seoalah-olah perkataan ‘WANITA’ dan ‘CANTIK’ itu sebuah ‘trademark’ apabila membicarakan isu wanita. Sama ada setuju atau tidak kita terpaksa akur menerimanya tanpa memahami dan mengupas intipati cantik yang sebenarnya atau apa yang melayakkan seseorang wanita itu dikatakan cantik.

Banyak elemen yang membantu mencantikkan wanita. Selain bentuk fizikal iaitu paras rupa, tinggi rendah, gempal atau ramping juga gaya yang mempesona, faktor komunikasi adalah merupakan aset penting dalam menentukan kecantikan sebenar wanita, kerana komunikasi berperanan menjamin kesinambungan sesebuah hubungan. Kecantikan fizikal dan gaya rupa diri hanyalah sebagai pembuka atau ‘intro’ bagi memulakan hubungan, sama ada hubungan persahabatan mahupun urus niaga, manakala faktor komunikasilah yang akan bertindak menjamin keberkesanan dan ketekalannya.

Komunikasi bukanlah sekadar boleh bercakap, tetapi bagaimana bercakap dengan bijak dan menawan. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah komunikasi verbal, iaitu yang melibatkan percakapan atau perbualan. Tujuan berkomunikasi adalah supaya mesej yang ingin disampaikan berkesan, iaitu boleh diterima dan difahami dan mendapat maklumbalas yang baik jika perlu, dan sudah tentulah sebagai wanita dalam menjalin hubungan kita mengharapkan suatu timbal balik yang positif sebagai bukti kebijaksanaan wanita yang boleh dikatakan cantik dengan ertikata sebenarnya.

Pelbagai kaedah komunikasi menawan yang boleh diaplikasikan. Berkomunikasi atau bercakap bukan sekadar melontarkan suara atau pendapat tetapi ia merangkumi gaya bahasa, intonasi suara, mimik muka dan paling penting kemampuan mencerap, di mana kita terlebih dahulu harus mampu menjadi pendengar yang baik. Tujuan berkomunikasi dengan baik adalah untuk mengindahkan lagi kecantikan wanita disamping mengatasi beberapa masalah yang dianggap remeh tetapi ada kalanya boleh menimbulkan konflik. Antara contoh rungutan yang biasa kita dengar hasil daripada komunikasi silap adalah :“ Saya tak fahamlah apa yang dia cakap”“ Cakap macam kita kuli dia je”“ Bosan! asyik cerita hal dia je, balik-balik anak dia, suami dia, rumah dia…”Contoh di atas merupakan sebahagian daripada perasaan ketidakpuasan hati yang dialami
semasa sesuatu proses komunikasi. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sikap atau cara berkomunikasi yang silap diantara kedua belah pihak.  Contoh no.1 mungkin berpunca daripada pendengar yang tidak mencerap, sementara contoh no.2 pula mungkin rasa tidak puas hati pendengar kerana gaya penutur bercakap seolah-olah mengarah.

Cara berkomunikasi yang baik boleh dibentuk dan diperbaiki. Ia penting kerana kita harus berkomunikasi sepanjang hidup kita, sama ada di rumah, di pejabat, di pasar atau di mana jua dan kita juga perlu faham kenapa dan dengan siapa kita berkomunikasi. Tetapi apa yang penting adalah kesedaran dan kemampuan siempunya diri sama ada mahu memperbaiki kelemahan diri iaitu mahu benar-benar kelihatan indah diantara yang cantik dan benar-benar boleh dilabel sebagai WANITA CANTIK.

 

Laman Web Puspanita ini dibangunkan oleh Kumpulan Web Puspanita (PWT) bermula pada: 6/10/2006
Laman web ini dikemaskinikan pada
19/09/07
Sebarang pertanyaan dan rujukan sila e-mail kepada
PuspanitaWebTeam