CERPEN : Takdir Untuk Kita (Puteh25) |
|
MENU:| SIRI 1 | SIRI 2 | SIRI 3| SIRI 4 |SIRI 5 | SIRI 6 |SIRI 7 |SIRI 8 | |
|
|
SIRI 1Daun-daun kering pohon kemboja berguguran lagi bila angin bertiup. Akhir-akhir ini angin bertiup agak kencang. Langit pula mendung tetapi hujan tidak pula turun. Sejak dari petang tadi, Azah agak murung dan termenung. Sudah hampir sejam dia duduk di beranda flatnya memerhatikan gelagat beberapa orang budak kecil berlumba-lumba mengutip bunga kemboja di bawah. Fikirannya amat terganggu dengan apa yang berlaku pagi tadi di makmal. Kerjanya sebagai pembantu penyelidik di sebuah universiti tempatan memerlukan penumpuan yang teguh tidak mampu untuk menerima tekanan emosi yang dirasainya sekarang ini. Apa yang dilihat pagi tadi sudah cukup untuk menerangkan segala-segalanya. Azah menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengoyak-ngoyakkan daun pokok ati-ati di sebelahnya. Rambutnya yang pendek dibiarkan tidak bersikat dan ditiup angin. ` Sampai hati kau buat aku begini, Khairul !! ’ jerit hatinya. Dia tidak dapat menerima dengan apa yang telah ditunjukkan depan matanya. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh beberapa temannya sejak dua bulan yang lalu. Dia merasakan apa yang telah dilakukan sebelum ini adalah sia-sia dan semuanya adalah satu penipuan. `Bodohnya aku ni, dah banyak perkara berlaku tapi aku masih tidak sedar lagi !’ getus hatinya yang masih panas bercampur sedih itu. Hatinya cukup terluka dengan apa yang dilakukan oleh teman lelakinya itu. Masihkah ada perasaan kash di hati teman lelaki terhadapnya lagi? Azah sendiri tidak tahu. Dia sendiri masih bercelaru tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Berbagai persoalan masih segar di fikirannya mengganggu ketenteramannya sejak pagi tadi. Dia tunduk membelek daun ati-ati yang telah koyak. Airmatanya sudah tergenang. `Azah, hari ini kita nak masak apa ?’ sapa Emilia sambil mengikat apron. `Ahhh..masaklah apa-apa, itupun nak tanya ke ?’ bentak Azah sambil mengesat-ngesat mata. `Aii..tanya macam itupun nak marah ?’ sahut Emilia yang sedang melihat ke dalam peti ais. Emilia adalah salah seorang teman serumah Azah. Yang lain-lain adalah Mariam dan Linda. Emilia juga bekerja sebagai pembantu penyelidik di tempat yang sama dengan Azah. Manakala Mariam adalah seorang guru dan Linda pula seorang pegawai bank. `Azah, sudahlah, jangan ikutkan sangat perasaan tu !’ pujuk Emilia sambil mengupas bawang. Radio yang baru dipasang Emilia mendendangkan lagu mengisi suasana yang senyap sunyi seketika itu. `Dan kini semua kau katakan padaku..... `Apa yang dah jadi pagi tadi masa kau pergi ke bilik Ana ?’ tanya Emilia sambil mengupas bawang untuk hidangan makan malam. Emilia yang berambut panjang dan bermata coklat itu telah terkenal dengan rakan-rakannya sebagai seorang yang happy go lucky. Motto hidupnya don`t worry, be happy. Berbeza dengan Azah yang lebih sensitif dan sentiasa ambil berat dalam semua hal.
|
SIRI 2Azah yang sedang menarik-narik benang seluar jean yang dipakainya terus diam membatu. Dia melemparkan pandangannya jauh-jauh ke kaki bukit yang terbentang luas. Ana...nama penuhnya Suzana Ariffin. Orangnya memang sederhana besar, berkulit putih kuning, cantik dan bertambah manis bila dia mengenakan tudung berwarna ungu. Ana memang menjadi idaman ramai pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Master. Dia bekerja sama seperti Azah di jabatan yang berbeza tetapi masih menjalankan beberapa projek penyelidikan bersama-sama dengan Azah. Setahu Azah, Ana telah mempunyai seorang teman lelaki yang menjadi pelajar Master di situ. Pelajar itupun boleh tahan kacaknya dan anak orang berada. Ana telah menjadi teman baiknya sejak di sekolah menengah lagi dan sama-sama menuntut di universiti yang sama. Pagi tadi dia pergi ke bilik Ana untuk membincangkan jadual kerja. Tetapi Ana tiada di situ dan dia terus ke meja Ana untuk meninggalkan pesan. Sehelai kertas yang terselit pada sebuah buku menarik perhatian lalu dibacanya. Dari situlah Azah sedar kedudukannya yang sebenar. Isi kandungan kertas itu sudah cukup mengguris hatinya. Dia tidak tahu apa yang harus dibuatnya pada masa itu. Dia lari sederas-derasnya dari bilik itu dan mengurungkan diri dalam sebuah bilik stor di makmalnya. Di situlah dia terduduk di atas lantai dengan hati yang luka, pedih bagai ditusuk dengan pisau. `Kau dah tahu hubungan Ana dengan Khairul bukan ?’ tanya Emilia dengan penuh makna. `Azah, sebenarnya.. Ana dah lama menaruh hati kepada Khairul, tapi bila dia lihat Khairul selalu berbual dan melayan kau, dia mendiamkan diri sahaja. Ana sendiri yang beritahu ini pada aku’ terang Emilia. Azah tersentak. Airmatanya sudah turun berjurai-jurai di atas pipi. Kepalanya tiba-tiba berdenyut-denyut sakit. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Apa yang dikata oleh Emi seperti menyiat-nyiat hatinya. `Emi, tak mungkin Emi. Khairul tu layan aku lebih daripada kawan biasa. Takkan kau tak perasan. Bila aku dapat tahu tentang hubungan mereka, aku tak percaya Emi ! Aku tak percaya !‘ tegas Azah lalu berdiri. Hancur luluh sungguh hatinya bila mendengar kata-kata Emi tersebut. Emilia terdiam sebentar. Dia terus menghiris bawang perlahan-lahan. Azah terdengar pintu bilik flat sedang dibuka menandakan Linda dan Mariam rakan serumah mereka telah pun pulang. Mariam dan Linda sedang becok bercerita tentang sesuatu di depan pintu rumah. Linda terkial-kial membuka kasut . `Apa pendapat kau kalau aku minta Khairul berjumpa dengan kau untuk menerangkan hal yang sebenarnya ?’ cadang Emilia yang telah berdiri sebelah Azah dan memegang bahu Azah. Dengan tak semena-mena tangan Azah menolak tangan Emi dengan kasar dan berteriak. ` Sudahlah satu jabatan dah tahu cerita ni, kau nak menambahkan lagi pula. Aku malu Emi ! Aku malu pada semua orang, mana aku nak letak muka aku ni ! Kau faham tak !! Aku ada harga diri Emi ! Aku tak akan mengemis cinta dari orang yang tidak menyukai aku !’ raung Azah dengan menekup mukanya yang terus basah dengan airmata. Azah terus berlari ke biliknya dan kedengaran sedu-sedan yang semakin kuat dan hiba dari balik pintu yang tertutup rapat. |
SIRI 3Kedua-dua rakan mereka yang baru pulang tercengang melihatkan peristiwa tersebut. Linda dan mariam berpandangan antara satu sama lain kehairanan. Emi tercegat tidak berkata apa-apa. ‘Apa pasal dengan Azah tu ?’ Tak pernah dia berperangai begini’ tanya Mariam kepada Emi.‘Entahlah..susah aku nak terangkan. Nanti kamu tanyalah sendiri pada Azah bila dia dah tenang nanti’ keluh Emi sambil menuju semula ke dapur. ‘Ini semua tidak lain mesti pasal seseorang bernama lelaki’ rungut Linda sambil membaling kasut tingginya ke sudut rumah. Dia menghempaskan beg tangannya ke atas kerusi dan duduk. Mariam sedang terkial-kial membuka tudungnya. Di antara rakan-rakannya, Lindalah yang paling up to date dan agak sosial. ‘Kau tahu Emi, aku dah fed-up dengan Ash dan aku tidak ada kena-mengena lagi dengan dia. I’m through with it’ kata Linda sambil menggeliat. Ash ialah teman lelaki Linda yang terbaru dan baru menjalin perhubungan selama beberapa minggu. ‘Kenapa kau kata begitu, bukankah dia lelaki idaman kau, kaya, kacak, mempunyai karier dan kamu telah berjanji hendak sehidup semati dengannya ?’ tanya Mariam yang senyap sejak tadi. Mariam lebih banyak diam apabila bersama rakan-rakannya tetapi dia agak degil orangnya. ‘Susah la dia tu..dia tak suka aku pakai seksi sangat....agaknya dia cemburu betul bila ada lelaki lain pandang-pandang aku’ kata Linda dengan lantang.‘Sebab itu saja kau nak putuskan hubungan kau dengan dia...hmmm..kau kenalkan aku kat dia’ kata Mariam menyakat Linda.‘Pergilah ! ..pergilah !.. nanti aku beri alamat syarikat dia’ kata Linda dengan muka yang masam.‘Janganlah marah..aku gurau saja..dia ada syarikat jual komputer kan ? Kau dah beri semua kad dia kepada kami. Janganlah takut..kami semua dah ada buah hati masing-masing’ pujuk Mariam sambil tersenyum. Dia sudah masak benar dengan perangai Linda. Walaupun dia kata sudah tak ada kena mengena dengan Ash, dia masih ada menyimpan hati dengan Ash tersebut sehinggalah dia telah menjumpai ganti yang lebih baik dari Ash. ‘Taak..aku tak marah. Ahh..biarlah, that’s my problem. Yang aku tahu sesiapa yang nak kahwin dengan aku, dia mesti accept what I am. Esok hari Sabtu, aku nak enjoy sepuas-puasnya’ jawab Linda sambil membeliakkan matanya kepada Mariam.Suasana dalam bilik tersebut sunyi sepi sebentar. Emi terdiam mendengar kata-kata Linda. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Masing-masing telah dewasa dan tahu menilai yang mana yang baik dan buruk. Terserah kepada diri sendiri. Linda terus masuk ke bilik untuk mandi. Emi dan Mariam beransur ke dapur untuk menyediakan makan malam.Azah di dalam bilik hanya mendengar celoteh rakan serumahnya. Hatinya masih panas dan sedih mengenangkan apa yang telah terjadi. Dia mengeluh panjang. Rasa berat di hati untuk pergi ke makmal esok. Dia perlu jalankan beberapa eksperimen dengan Ana nanti. Alat yang akan digunakan pula berdekatan dengan bilik Khairul. Buat masa ini kalau boleh dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa, terutama mereka berdua. `Mengapa kau tidak terus terang saja dari dulu yang kau hendakkan si Ana tu ? Kenapa kau mainkan perasaan aku ini. Aku tahu aku ni siapa. Aku tak dapat menandingi Ana tu. Ana tu pun dah ada teman lelaki, tapi kenapa dia layan juga si Khairul tu ?’ rintih hatinya. Airmatanya sudah tergenang tapi ditahannya dengan perit. Dia resah memikirkan hari-hari yang akan ditempuhinya nanti. |
SIRI 4Pagi Isnin itu Azah sedang sibuk menyediakan bahan eksperimen yang akan digunakan nanti. Konsentrasinya terganggu disebabkan hal-hal yang telah berlaku pada minggu lepas. Beberapa kali dia telah membuang larutan yang disediakan kerana telah salah pengiraan kepekatannya. ‘Salah lagi...marahlah Encik Zack kalau tahu ni. Kena buat semula ni. Membazir betul !’ gerutu Azah seorang diri. Azah duduk sebentar berdekatan dengan meja makmal. Matanya asyik memandang pintu makmal menunggu kalau-kalau Ana datang ke makmal tersebut. Ana sepatutnya datang menjalankan eksperimen dengannya sehingga petang nanti. Hatinya berdebar-debar kerana memikirkan perkara yang telah melukakan hatinya. Azah tahu dia harus bersabar dalam hal ini. Hanya masa yang dapat menentukannya. Langit kelihatan mendung seperti hendak hujan. Azah tidak becadang untuk keluar ke mana-mana untuk makan tengahari. Cukuplah sebungkus nasi lemak yang dibeli pagi tadi untuk dimakan nanti. Kedengaran bunyi hentakan kasut yang pantas di luar makmal. Pintu makmal terkuak dan dilihatnya Ana sedang menjenguk ke dalam. ‘Azah, kita perlu buat eksperimen hari ini kan ?. Kau datang ke bilik aku hari Jumaat tu ? tanya Ana sambil menyelak-nyelak buku makmal. Azah cuma diam membatu. Dia sedang sibuk melabel bikar-bikar yang berisi larutan. ‘Puas aku cari kau hari tu, seorang pun tak tahu kau kemana. Handphone kau pun tutup. Kau kemana ? tanya Ana lagi. `Ana, aku rasa kau buat sendirilah eksperimen ni..aku dah sediakan semua larutan. Kau cuma perlu campur sampel dan analisis dengan alat saja. Lagipun ini memang projek kau. Aku cuma menunjukkan kaedah ini saja. Aku tak dapat gunakan data kau ni pun’ kata Azah perlahan. ‘Azah ! Mengapa begini ? Kan kita dah janji nak buat sama-sama. Mengapa kau macam tak ada mood aja ni ?’. ‘Tak ada apa-apa. Aku rasa letih saja. Kau pergilah buat. Aku tunggu di makmal ni. Kalau ada apa-apa masalah talipon saja aku di sini. Aku tidak kemana tengahari ni’ jawab Azah menyorokkan perasaannya. Ana terdiam seketika. Dia melihat larutan yang telah disediakan dan membandingkan dengan senarai yang ada di dalam simpanannya. ‘Azah....., tadi Khairul mencari kau. Dia ada sesuatu nak cakap pada kau. Aku katakan kau ada di makmal ni’ kata Ana sambil melihat dalam-dalam ke wajah Azah. ‘Kenapa dia cari aku. Aku sibuk sangat ni. Lain kali sajalah jumpa’ jawab Azah yang sedang menulis sesuatu di dalam buku makmal. Suasana di makmal senyap seketika. Tiada sesiapapun bersuara. Yang kedengaran cuma bunyi deruman alat pengempar yang sedang dijalankan oleh Azah sebelum ini. ‘Azah, hari Jumaat tu kau datang ke bilik aku kan ? Kau jumpa sesuatu di meja aku betul tak ?’ tanya Ana serius memecah kesunyian. Azah terus mendiamkan diri. Dia beralih duduk ke meja tulis yang ada disediakan di situ. Dia mula membuka satu lagi buku makmal yang lain untuk memulakan kerja seterusnya. ‘Azah, aku tahu kau telah baca surat yang Khairul beri pada aku. Masa aku masuk dalam bilik aku jumpa surat itu di atas lantai. Aku tahu tidak ada sesiapa yang berani usik buku aku atas meja kecuali kau’ kata Ana perlahan. Masa terus berlalu. Azah tidak menjawab sepatah pun. Tangannya yang menggigil disorokkan di dalam poket baju makmalnya. Ana menarik kerusi dan duduk di sebelah Azah. Ana duduk termenung sambil merenung gambar berbingkai di atas meja tulis itu. Gambar itu menunjukkan keriangan dia, Azah, Khairul danbeberapa rakan yang lain dalam majlis harijadi Ana yang diadakan di bilik kopi di sebelah makmal. Masa itu dia telah menjalin perhubungan dengan Khairul secara senyap tanpa pengetahuan Azah dan rakan-rakan yang lain. Hujan turun dengan lebatnya. Rintikan hujan menampar-nampar tingkap yang ada di depan Azah. Kelihatan kabur sahaja pemandangan di luar tingkap. Lebatnya turun hujan, lebat lagi tangisan di dalam hatinya yang ditahan seberapa daya yang boleh. Perlahan-lahan Azah memandang Ana. Ana masih lagi tersenyum memandang gambar berbingkai tersebut. Airmata Azah sudah mula tergenang. Dia merasa sungguh sedih dan jauh hati. Sampai hati rakan karibnya berbuat begitu kepadanya. Dia inginkan kepastian dari mulut Ana sendiri. ‘Ana, betulkah kau dan Khairul sedang bercinta sekarang ?. Ramai rakan kita telah memperkatakannya, tapi aku tak percaya. Bila aku baca surat tu aku rasa seperti ditipu !. Mengapa Khairul tak mengatakan perkara yang sebenar ini pada aku dan mengapa dia masih melayan aku seperti teman wanitanya ? tanya Azah tanpa memandang kepada Ana. Sungguh perit rasanya untuk dia meluahkan kata-kata tersebut. Tetapi dia mesti lakukan untuk tahu perkara yang sebenar. Dua hari dia merana dan tertanya-tanya tentang hal ini. ‘Khairul tidak sampai hati nak beritahu perkara sebenar kepada kau. Dia takut kau kecewa dan terlalu sedih. Dia suruh aku rahsiakan perkara ini sehingga masa yang sesuai. Memang betul dulu dia rapat dengan kau tetapi dia terpikat dengan aku semasa kau memperkenalkan aku pada hari demonstrasi alat pH meter di makmal dia. Khairul memang kasihkan aku Azah’ terang Ana. ‘Mana boleh, aku tak percaya !’ bantah Azah perlahan tetapi sinis. `Azah ! Khairul memang serius dengan aku. Dia telah berjumpa dengan ibubapa ku ! Cincin ini dia yang beri sebagai tanda perhubungan kami!’ jawab Ana yang telah berdiri tiba-tiba menyebabkan kerusi yang telah didudukinya tumbang. Azah tersentak. Fikirannya bercelaru. Hatinya sudah mula panas bercampur geram. ‘Tapi kenapa Khairul selalu ajak aku makan bersama, beri bunga, hadiah dan buat macam-macam cara lagi supaya dapat berjumpa aku selalu. Dia pernah berkata kepada aku yang aku sangat istimewa buatnya. Mengapa dia berkata begitu jika dia tidak mempunyai perasaan kasih kepada aku’ sahut Azah mempertahankan sisa-sisa keyakinan yang ada pada dirinya. Azah tidak dapat melupakan semua perkara-perkara gembira yang pernah dia lalui bersama Khairul. Segalanya masih begitu jelas di ingatannya. Sukar untuk dia melupakannya dan semua itu telah lama bersemadi di ruang hatinya. Suasana sunyi sepi seketika. Yang hanya kedengaran rintikan hujan dan sayup-sayup kedengaran deringan talipon di bilik makmal sebelah. `Tentang itu...kau kena tanya Khairul sendiri. Aku..aku serahkan semuanya kepada dia untuk menjelaskannya....’ kata Ana tersekat-sekat. Ana terus bangun dan mengambil larutan-larutan yang disediakan untuk dibawa ke makmalnya. |
SIRI 5Hari-hari yang berlalu sungguh membosankan. Ana telah pergi menghadiri seminar di Pulau Pinang. Peristiwa di makmal tempoh hari masih segar di ingatan Azah. Sejak hari itu Ana tidak datang berjumpa Azah. Data yang didapati hasil dari analisis pun tidak ditunjuk kepada Azah untuk dibincangkan. Yang paling menyakitkan hati dia baru tahu Khairul juga turut serta dalam seminar tersebut. Mereka akan berada di sana satu minggu dan Ana pun telah memohon cuti selama satu minggu lagi. Lagi dua hari Ana akan pulang semula ke sini. Azah menghabiskan masanya selepas kerja dengan menonton tv. Komputernya yang baru saja dibaiki kini rosak semula display monitornya. Kedai servis komputer itu pula jauh dari tempat tinggalnya lalu menyebabkan komputer itu terbiar begitu saja. ‘Azah, aku dah jumpa kedai komputer yang Linda sarankan tu, cawangan yang baru dibuka, dekat selekoh itu saja. Kata Linda kedai komputer itu kepunyaan bekas teman lelakinya Ash. Tapi dia tak beritahu nama sebenar bekas teman lelakinya itu. Kau kena pergi sendiri kerana aku ada date hari Sabtu ni’ kata Emi dengan riang.Pagi Sabtu itu dia pergi berjalan kaki ke kedai tersebut dengan display monitornya yang sungguh berat. Matanya berpinar-pinar dan pinggangnya terasa sengal kerana mengusung display monitor dari rumahnya tadi. Kedai dua tingkat itu berwarna putih dan merah dan di pintunya ada gambar bunga matahari yang sedang tersenyum. Azah masuk ke dalam kedai dan dilihatnya tiada sesiapapun di dalamnya. Terdapat beberapa komputer yang lengkap peralatannya dipamerkan di ruang pameran. Almari bercermin mengisi ruang kosong penuh dengan pencetak, pengimbas dan lain-lain barangan komputer. Azah terus memanggil pekerja kedai tersebut sambil meletakkan display monitornya di tepi tangga..‘Ya, ya, tunggu sekejap, saya ada di atas ni !’ jerit seseorang dari tingkat atas. Azah berdiri di atas beberapa anak tangga kerana tidak sabar untuk menunggu. Seorang lelaki kemudiannya keluar sambil membawa sebuah kotak dan berlari turun tangga dengan lajunya. Dia tidak perasan ada sehelai plastik berjela di atas tangga dan dia terpijak plastik yang licin tersebut dan terus jatuh terhumban ke bawah. ‘Aduhh.. sakitnya kaki aku....!!!’ keluh Azah dengan dahi yang berkerut-kerut. Azah tidak sedar rupanya lelaki tersebut jatuh dan melanggar Azah dengan kuat menyebabkan dia jatuh dan kakinya terseliuh. Display monitornya juga telah dihempap oleh kotak yang dibawa oleh lelaki tersebut..‘Cik, saya minta maaf !! Cik tak apa-apa, ke ?’ tanya lelaki tersebut sambil memegang bahu Azah.‘Awak tak nampak ke saya sedang sakit ni !!’ kata Azah dengan muka merah padam sedang mengurut-urut kakinya. Peluhnya merecik keluar kerana sakit dan marah.‘Mari, saya hantarkan awak ke klinik’ cadang Encik Asbi.‘Habis, macamana dengan display monitor saya ni. Ini salah awak tau !!’ kata Azah dengan lantang.‘Jangan risau, saya akan ganti dengan yang lain. Panggil saya Asbi saja, nama cik siapa?’ balas Encik Asbi dengan tenang.Azah terdiam. Hatinya hangat dengan kejadian tersebut. Semuanya akan menyusahkan dia. Hatinya bertambah sakit bila melihat lelaki itu tenang dan tersenyum memimpin dia masuk ke kereta untuk ke klinik. Sebelum itu dia mengunci kedai tersebut dan menalipon seseorang seketika menggunakan handphone. Encik Asbi yang menghantar Azah ke rumah flatnya selepas ke klinik. Kaki Azah berbalut dan Azah terdengkot-dengkot bila berjalan. Dia berjanji untuk menggantikan display monitor Azah tanpa bayaran. Walaupun begitu, ia tidak dapat memadamkan kemarahan Azah. Malam itu sangat hening. Bintang bertaburan di dada langit. Kelihatan lampu-lampu di setiap rumah flet menerangi blok bangunan di sebelah kiri blok rumah Azah. Azah duduk keseorangan di serambi rumah fletnya dengan lampu di ruang tamu dipadamkan. Duduklah dia di dalam gelap sambil mengurut-urut kakinya yang sudah berkurangan sakitnya. Semua teman serumahnya telah keluar dan belum pulang lagi. Mariam pulang ke kampungnya. Linda ada date dengan teman lelakinya yang baru dan Emi pula sibuk shopping untuk persediaan hari pertunangannya nanti. Sesekali terasa angin bertiup perlahan membawa harum bunga melor yang sedang kembang di tepi serambi itu. Emi memang suka menanam bunga. Walaupun rumah flet, tapi di beranda itu ada berbagai pokok bunga telah ditanam di dalam pasu dan disusun kemas. Emi bukan main marah kalau Azah duduk di serambi sambil mengoyak-ngoyakkkan daun pokok ati-atinya. Pokok tersebut adalah hadiah dari teman istimewanya. Teman isitmewa...sudah lama Azah tidak menerima panggilan telefon dari Khairul. Sejak dua bulan kebelakangan ini dia jarang berhubung dengan Azah. Cuma berbual sebentar bila bertembung di makmal atau di pejabat. Senyumannya dan kemesraannya masih seperti dulu juga. Itu sebab Azah tidak pernah mengesyaki apa-apa walaupun ada di antara teman-temannya merasai ada satu kelainan pada Khairul. Agaknya inilah dinamakan cinta. Bila semuanya manis, apa-apa yang lain tidak dapat diterima. Puas teman-temannya menyuruh Azah bertanya sendiri kepada Khairul di mana status Azah di hatinya dan bila hendak serius mengikat cinta yang dikatakan telah terpadu. Azah tidak mahu menggesa Khairul. Dia tahu masing-masing sedang sibuk dalam mencapai satu tahap kerjaya yang lebih teguh dan stabil. Khairul dan Azah masih bekerja secara kontrak dan masih mencari pekerjaan yang lebih sesuai dan tetap. Dia tidak mahu merunsingkan hari Khairul dengan perkara yang sebegini. Dia sendiri belum pasti dengan perasaan kasihnya terhadap Khairul. Tetapi kini dia merasa sangat rindu dan tertunggu-tunggu panggilan dari Khairul Selalunya Khairul akan menalipon dia setiap petang jika tidak dapat berjumpa atau makan tengahari bersama-sama. Lama-kelamaan panggilan itu semakin berkurangan dan semakin jarang bertemu. Apabila berlaku peristiwa dia terjumpa surat di meja Ana, berat rasa hati Azah untuk menghubungi Khairul. Dia lebih suka mendiamkan diri dan mengelak daripada bertemu. Dia tidak tahu apa yang dirasa sekarang ini, marah, sedih, malu, segalanya bercampur baur di hatinya. Khairul pun tidak cuba menghubunginya lagi. Sudah tentu dia tahu tentang perbualan dia dan Ana di makmal tempoh hari. Azah tidak tahu apakah tindakan Khairul selepas ini. Terasa lagi angin berhembus lembut malam itu. Kedengaran dari jauh bunyi tiupan saksafon lagu Jangan Tinggal Daku. Ada jiran Azah yang sedang menonton cerita P. Ramlee Ibu Mertuaku yang sedang ditayangkan di tv. Azah terus termenung jauh di dalam kegelapan bersama angin malam. Angin.... |
SIRI 6Azah telah pergi ke bilik komputer untuk menyiapkan lapuran projeknya. Macam-macam perkara berlaku dalam beberapa hari ini. Komputer di makmalnya telah diambil oleh pembantu makmal untuk diberikan kepada seorang pegawai sains dan pagi ini sepasang baju kurung warna merah kesukaannya telah hilang dari ampaian. Mungkin diterbangkan oleh angin yang kencang malam tadi. Sedang dia asyik menaip, dia terasa seperti ada orang memerhatikannya dari belakang. Pintu masuk ke bilik komputer ada di belakang nya dan kedengaran ada orang masuk ke dalam bilik tersebut dan berhenti berhampiran kerusi yang didudukinya. Bau minyak wangi seperti sudah biasa baginya. ‘Azah, boleh aku mengganggu kamu sebentar ?’. Azah terhenti menaip. Dia pejamkan matanya sekejap menahan rasa perit di hatinya. ‘Khairul datang jumpa aku ..’ bisik hatinya yang tidak keruan itu. Mahu rasanya dia lari keluar kerana tidak sanggup untuk berhadapan dengan dia dan juga dengan apa yang bakal didengarnya nanti. ‘Azah.......’ seru Khairul perlahan sambil duduk di atas kerusi yang bersebelahan dengan kerusi Azah. Perlahan-lahan Azah memandang Khairul yang sedang membetulkan selak rambutnya yang agak panjang. Azah memalingkan mukanya mengadap skrin komputer semula. Azah tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya yang telah luka terasa hancur dan berdarah semula. Perasaan sedih bercampur marah meluap semula. Khairul seorang lelaki yang agak sederhana besar, berkulit putih kuning dan tinggi, berambut lebat, panjang sedikit hingga ke tengkok dengan sebahagiannya jatuh ke dahi. Matanya yang agak sepet dan redup itu memang sudah lama memberi kesan yang kekal di hatinya. Bahunya yang tegap dan lebar menambahkan lagi ketampanannya. Bahunya itulah yang menyebabkan Azah tak dapat melelapkan mata selepas diperkenalkan kepada lelaki itu pada hari permulaan kerjanya. Dulu, bila lihat saja Khairul, mahu saja dia berlari memeluk Khairul dan merebahkan kepalanya di atas bahu yang lebar dan tegap itu. Khairul, lelaki yang dipujanya setiap hari dan bila Khairul memberinya bunga dan hadiah setiap bulan dia merasakan dialah orang yang paling bahagia di dunia ini. Dia adalah lelaki yang diharapkan dapat memberikan perhatian dan kasih sayang yang dicarinya selama ini. Tidak sangka Khairul telah berubah hati kepada Ana, sahabat baiknya sendiri dan pandai berpura-pura dan mempermainkan perasaannya. Dia sangat marah pada dirinya sendiri kerana terlalu lemah dan mudah terpaut pada orang yang berbaik dengannya.`Azah, maafkanlah aku, Azah. Aku tahu aku bersalah dalam hal ini. Aku tak sangka perkara ini boleh berlaku’ kata Khairul perlahan-lahan sambil menundukkan kepalanya. Azah tidak memandang muka Khairul dan terus menghadap skrin komputer untuk meneruskan kerjanya. Azah dapat merasakan Khairul sedang memerhatikannya.‘Khairul, sampai hati kau buat aku begini..sekarang aku nak tahu siapa sebenarnya yang kau pilih...’kata Azah dengan suara yang bergetar. Dia masih susah nak bertentang mata dengan Khairul.`Sejak kebelakangan ini aku sentiasa merasa serba salah bila berjumpa dengan kau. Ini kerana aku ada satu perkara perlu aku jelaskan dan aku takut kau tak dapat menerimanya. Percayalah Azah! Aku memang terpikat dengan kau sejak mula kita bertemu. Tapi setelah aku diperkenalkan kepada Ana, aku menjadi tidak tentu arah. Setiap malam aku teringatkannya dan oleh kerana aku tak mahu mengecewakan kau, aku rahsiakan hubunganku dengan Ana. Sesuatu telah terjadi dan aku tidak boleh lari dari Ana. Azah, aku harap kau faham keadaan aku ini’ terang Khairul bersungguh-sungguh. Azah berhenti menaip tiba-tiba. Azah sambil memandang muka Khairul sedalam-dalamnya.‘Apa yang telah terjadi antara kau dan Ana ?. Apa yang Ana telah buat sampai kau berubah hati sebegini rupa ?’ tanya Azah yang mahukan kepastian dan mahu tahu kedudukannya di dalam hati Khairul.‘Azah...aku harap kau dapat melupakan aku ini. Aku mesti bertanggungjawab terhadap apa yang telah aku lakukan kepada Ana. Sesuatu telah terjadi dan aku tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Azah..aku tak dapat membendung perasaan cintaku kepada Ana dan aku...aku tak boleh terangkan pada kau.... aku harap kau faham keadaan aku ini. Segala-galanya berlaku dengan pantas’ kata Khairul perlahan-lahan sambil memegang tangan Azah.Azah terdiam. Dia tunduk memerhatikan tangannya yang di dalam genggaman Khairul. Dia tidak dapat menahan sebak di hatinya. Dia faham maksud kata Khairul. Dia tidak ada tempat lagi di hati Khairul. ‘Azah..aku minta maaf atas segala-galanya. Aku tak tahu apa nak buat untuk menebus segala kesalahanku kepadamu. Aku harap kau merestui perhubungan kami berdua. Kami tidak berniat langsung hendak menyakiti hatimu’ rayu Khairul dambil menggenggam erat tangan Azah. Airmata Azah jatuh menitik. Dia terpaksa merelakan perhubungan mereka berdua. Apa pun sebabnya Khairul kekasih hatinya..pujaan hatinya..tetap pergi darinya. ‘Azah...please, jangan macam ni...’ seru Khairul tersekat-sekat. Dia menjadi tak keruan bila melihat Azah menangis di depannya.Suasana senyap seketika. Yang kedengaran cuma deruman penghawa dingin dan sesekali esakan Azah. Kedengaran dari jauh bunyi kasut tumit berjalan dan orang bercakap-cakap di koridor bilik komputer. ‘Azah..aku terpaksa pergi dulu ya...aku akan sentiasa ingatkan kau..sampai bila-bila...’ Khairul perlahan-lahan melepaskan tangan Azah. Dia merasa sungguh sedih melihat keadaan Azah. Mungkin jodohnya tidak bersama Azah. Dia telah berjanji dengan Ana untuk bertanggungjawab. Khairul bangun perlahan-lahan dan memegang bahu Azah. Kemudian Khairul terus keluar dengan langkah yang lemah dari bilik tersebut sebelum keadaan melarat kepada yang tidak sepatutnya. Azah tidak dapat menahan perasaannya lagi. Airmata turun dengan deras membasahi muka. Dia menoleh ke skrin komputer dan mula menaip semula. Tangannya menggeletar semasa menekan huruf keyboard. Azah sedar ia terpaksa melupakan Khairul walaupun jauh di sudut hatinya ia masih menyayanginya dan tidak tahu bagaimana handak meneruskan hidupnya akan datang tanpa Khairul. Macamana pun dia harus tabah menghadapainya. Perjalanannya masih jauh dan dia mesti kuat dalam mengatasi dugaan sebegini. Dia bersyukur kerana dapat menahan perasaannya. Tetapi hatinya terasa kosong dan gelap gelita. Seluruh tubuhnya terasa kebas dan kepalanya berdenyut sakit. Dia berharap semoga masih ada mentari lagi di masa hadapan yang dapat menerangi hatinya lagi. Di luar tingkap kelihatan bunga kuning berguguran dari pohon hujan dan bertaburan di atas rumput apabila ditiup angin. Angin masih terus bertiup dan matahari masih memancarkan sinarnya. |
SIRI 7Petang Sabtu Azah dan Emi sedang sibuk di dapur mencuba resipi biskut dari majalah Saji keluaran terbaru. Emi sedang terkial-kial membuka penutup marjerin yang baru dibelinya semalam. Dia beria-ia hendak membuat biskut itu untuk diberikan kepada teman istimewanya sebagai hadiah harijadi. Azah menolongnya kerana dia pun ingin tahu bagaimana rasa biskut itu bila telah dimasak. Banyak juga bahan yang digunakan di dalam resipi biskut ini dan agak mahal juga harga bahan-bahan tersebut. Sepatutnya menggunakan mentega tetapi untuk mengurangkan bajet marjerin menjadi pilihan. Penat juga menimbang dan mengacau adunan biskut itu memandangkan mereka tidak mempunyai mesin pengadun. Oven yang ada telah dihadiahkan oleh teman istimewa Emi semasa harijadinya dan sekarang Emi mahu membalas kebaikan temannya itu. Pagi tadi En. Asbi ada datang menghantar monitor komputer baru yang telah dijanjikan. Termengah-mengah En. Asbi menaiki tangga ke tingkat tiga flat Azah sambil mengusung kotak display monitor yang baru. Badannya yang kecil tetapi gempal kelihatan seperti tidak terdaya mengangkat display monitor tersebut. En. Asbi meletakkan monitor tersebut di kaki pintu memandangkan Azah tidak menjemput En. Asbi masuk ke dalam rumah. Dia menjemput Azah dan Emi untuk datang ke majlis pembukaan kedai tersebut pada hari Ahad minggu depan. Azah merasa senang hati kerana telah mendapat monitor baru itu dan tidak dikenakan apa-apa bayaran pun. Peristiwa En. Asbi jatuh dan melanggar dia yang menyebabkan monitor lamanya bertambah rosak masih segar di ingatannya. Azah dan Emi duduk di beranda rumah berbual-bual sambil menikmati aiskrim dan biskut yang telah siap masak. Linda dan Mariam masih belum pulang dari membeli-belah. Kemungkinan mereka singgah di kedai perabot dan kedai jahit untuk melihat tempahan mereka. Emi duduk diam memerhatikan orang yang lalu lalang di bawah flet mereka sambil mengunyah perlahan-lahan. TV yang ada berdekatan juga dipasang dan sedang menyiarkan cerita katun kanak-kanak. ‘Azah, semalam aku ada jumpa Ana. Dia bertanyakan tentang kau’ kata Emi memecah kesunyian.Azah mendiamkan diri. Suasana menjadi begitu hening seketika. Kepedihan di hati Azah masih belum surut lagi. Luka di hatinya masih mengalir darah sedihnya. Segala-gala mengenai Ana dan Khairul adalah duri pedih semata-mata. ‘Dia dan Khairul akan ke United Kingdom dua minggu lagi. Rupa-rupanya Ana dah berkahwin dengan Khairul senyap-senyap semasa dia pergi seminar di Pulau Pinang. Kau tahu kan Khairul dah dapat jawatan tutor awal tahun dulu. Dia ditawarkan untuk meneruskan pengajian Doktor Falsafah di UK dan akan pulang untuk menjawat jawatan pensyarah nanti’ kata Emi sambil mengunyah biskut. Azah menarik nafas panjang. Dia tidak mahu menangis lagi. Airmatanya sudah tiada lagi untuk menemaninya. Luka dihatinya mungkin tidak akan sembuh lagi. Apa yang terjadi..biarlah..dia menerima seadanya. ‘Berapa tahun dia akan berada di UK ?’ tanya Azah tanpa memandang Emi.‘Mungkin 3 atau 4 tahun. Ana ikut sekali. Dia dah letak jawatan lepas balik dari Pulau Pinang. Itu sebab dia tak datang jumpa kau untuk bincang tentang data analisis tu. Tak sangka Ana buat macam tu ye!’ kata Emi sambil mencuri-curi pandang Azah yang sedang bersandar di kerusi sambil merenung kaki langit yang mula merah. ‘Dia nak jumpa aku pasal apa lagi?’ tanya Azah sambil menarik-narik sehelai daun ati-ati di sebelahnya.‘Dia nak minta maaf dan nak serahkan semua kunci makmal dan lain-lain barang yang ada. Dia rasa sedih bila dengar kau cuba mengelak dari berjumpa dengan dia. Dia dah serahkan semuanya kepada aku dan dia minta maaf sangat dari kau atas segala yang terjadi. Dia harap kau dapat faham keadaannya. Segalanya begitu mendesak dan dia terpaksa melakukannya walau dia tahu sedikit sebanyak memang melukakan hati kau. Dia nak datang ke rumah ni tapi dia takut segalanya akan menjadi semakin keruh’ terang Emi. Kedengaran bunyi handphone Emi berbunyi. Emi bingkas bangun meninggalkan Azah seorang untuk menjawab panggilan tersebut. Azah terus bersandar sambil melihat langit senja yang merah itu. Dari dulu lagi Ana memang suka pada orang yang mempunyai masa depan yang cerah. Teman lelaki yang terdahulu memang anak orang berada dan akan menjawat jawatan pengurus di syarikat ayahnya apabila keluar dari universiti. Tetapi hubungan mereka berdua terputus tiba-tiba. Dengar-dengar anak orang berada tersebut sebenarnya telah bertunang sebelum masuk universiti lagi. Oleh itu dia putuskan hubungannya dengan Ana selepas selesai pengajiannya. Kemungkinan keluarga dia tidak menyukai tindakannya yang ingin mengambil Ana sebagai teman hidup. Azah masih teringat bagaimana dia bertemu dengan Khairul buat pertama kalinya. Pada waktu beginilah dia masih berada di bangunan fakulti universiti tersebut. Dia baru mula bekerja 3 hari. Dia terlewat keluar dari makmal untuk pulang dan didapati pintu yang dia selalu keluar telah terkunci. Waktu itu kebanyakan pelajar sedang bercuti dan keadaan sekeliling menjadi sunyi bila menjelang petang. Dia mencari jalan lain untuk keluar dan terpaksa melalui beberapa koridor yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini. Kebanyakan koridor telah gelap kerana belum dipasang lampu oleh pengawal bangunan atau pekerja yang masih ada di situ. Walau bagaimanapun dia terpaksa melaluinya untuk mendapatkan pintu keluar yang satu lagi. Keadaan di sekeliling memang sunyi sepi dan telah mula gelap.Tiada seorang pelajar atau pekerja pun di situ dan semula bilik makmal tertutup rapat pintunya. Semasa dia melangkah, dia melintasi tandas perempuan dan memandang ke pintu tandas tersebut. Pintu tandas itu terbuka perlahan-lahan seperti ada orang yang menariknya untuk keluar dari situ. Namun tiada kelibat orang berada di dalamnya. Azah terus melangkah tetapi sesekali masih memandang belakang untuk melihat siapa yang keluar dari tandas tersebut. Puas dia memandang ke belakang tetapi tiada sesiapa yang keluar dari pintu tandas yang mula terbuka itu. Serta–merta dia merasa seram sejuk dan bulu romanya berdiri tiba-tiba. Dia tidak keruan lagi dan terus berlari menuju ke pintu di hujung koridor tersebut. Tetapi sungguh malang baginya pintu tersebut pun tidak mahu terbuka dan terkunci juga. Azah tidak tahu apa yang perlu dibuatnya dan terus berlari ke kiri dan kanan sambil cuba membuka mana-mana pintu makmal yang ada di tepi koridor tersebut. Azah mula menjerit meminta tolong kerana takut dia akan terkunci di situ sampai pagi esok. Lama kelamaan koridor ini akan menjadi semakin gelap dan dia takut hendak melintas semula di depan tandas tersebut. Tiba-tiba salah satu dari pintu makmal telah terbuka dan seorang lelaki telah menjenguk keluar. Dengan segera Azah berlari kepadanya dan lelaki itu pun terkejut dengan kehadiran Azah yang tiba-tiba itu. Lelaki itu terus mengajak Azah masuk ke dalam makmalnya dan Azah tiada pilihan mengikut sahaja. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Khairul dan bertanyakan nama Azah serta kenapa dia menjerit meminta tolong. Azah menceritakan segalanya dan dia meminta Khairul menolongnya menunjukkan jalan keluar. ‘Saya boleh temankan awak keluar dari sini, tapi tunggu 5 minit lagi untuk saya mengemaskan meja saya dan menutup suis alat-alat sini. Boleh ye?’ kata Khairul menenangkan Azah.‘Saya dah kerja di sini hampir 3 tahun sambil belajar Master. Ini makmal saya dan saya akan bekerja sampai lewat malam sejak kebelakangan ini. Pintu yang di hujung tu memang dikunci kerana berdekatan dengan tangga menuju pintu keluar belakang bangunan. Apa yang boleh Azah buat ialah turun tangga ke lobi melalui pintu di kawasan bilik-bilik pensyarah. Pintu di kawasan itu memang tidak berkunci memandangkan ramai pensyarah balik lambat. Keluar melalui tangga kecemasan pun boleh tetapi agak sunyi pula’ terang Khairul sambil mengelap mejanya dan menutup suis-suis yang terpasang.‘Dah selesai. Apa kata saya hantarkan saja Azah sampai ke rumah. Azah pun tidak ada kenderaan lagi bukan?.’ Tanya Khairul membuka pintu makmal.Azah terus sahaja mengikut Khairul sambil memerhatikan jalan keluar. Sesekali Azah mengerling memerhatikan Khairul yang berjalan di sisinya. Entah mengapa cara Khairul membuatkan dia merasa begitu selamat dan tenang. Sesekali Khairul menguak rambutnya yang jatuh ke dahi dan tersenyum memandang Azah. Sejak hari itu Azah selalu berjumpa Khairul untuk meminta panduan dalam penggunaan alat dan menjalankan eksperimen. Apa yang diberitahu oleh Emi telah diketahuinya, tetapi tidak sedalam yang Emi beritahu. Semalam Azah ada berjalan di depan bilik makmal Khairul selepas menghantar bahan kimia yang telah digunakan ke stor berhampiran. Tidak semena-mena ada seseorang menarik dia ke dalam bilik makmal dan menutup pintu dengan pantas. Azah dapat mengagak dia adalah Khairul. Khairul terus memeluk Azah tanpa berkata apa-apa. Nasib baik bilik makmal tersebut tidak gelap dan tertutup bidai tingkapnya. Azah takut sungguh jika perkara ini diketahui orang. Ini adalah kali kedua Khairul berkelakuan begini. Sekali itu adalah semasa kakaknya meninggal, Khairul menangis di bahu Azah. Khairul berbisik mengucapkan selamat tinggal kerana dia terpaksa melanjutkan pengajiannya ke UK. Dia merasa begitu sedih dengan apa yang berlaku dan tidak berpeluang untuk berbicara lama dengan Azah seperti dulu. Lidah Azah kelu dan tidak dapat berkata apa-apa. ‘Azah, maafkan saya ye Azah. Maafkan atas apa yang berlaku dan saya rasa sungguh bersalah dalam memainkan perasaan Azah. Saya tidak sangka begini akhirnya. Restuilah perhubungan saya dengan Ana dan satu hari saya akan balas balik budi baik Azah selama ini. Azah saya merayu pada Azah, saya tidak tahu nak buat macamana lagi’ jelas Khairul dengan suara yang bergetar.Azah merenggangkan dirinya dari Khairul. Dia tersenyum melihat rambut Khairul jatuh ke dahi dan hampir menutup sebelah matanya. ‘Khairul, saya dah lama maafkan awak. Janganlah risau. Pergilah ke UK. Sesekali hantarlah email atau surat kepada saya. Kita masih berkawan baik bukan ?.’ tanya Azah dengan perlahan. Ditahannya rasa pedih di dalam hati dan airmata yang tergenang. ‘Azah..walau bagaimanapun...saya..saya ..tetap anggap awak orang yang paling teristimewa buat saya. Suatu hari kita akan berjumpa semula ye. Janji?’ kata Khairul memegang tangan Azah.Azah diam seketika. Aku tetap mencintaimu Khairul. Aku takkan lupakan kau. ‘Aku pun begitu juga Khairul. Kita jumpa lagi pada suatu masa. Selamat jalan Khairul’ kata Azah sambil berlari menuju ke pintu. Sebaik keluar saja dari makmal, Azah berlari sekuat hatinya menuju ke bilik makmalnya tanpa memandang belakang lagi. Airmatanya terus mengalir tidak henti-henti.
|
SIRI 8Azah sedang duduk di sebuah restoran makanan segera sambil menikmati puding yang telah dipesan. Dia agak risau tentang kontrak kerjanya yang hampir tamat. Kalau boleh, dia mahu sambung lagi kontrak tersebut 3 tahun lagi. Sudah setahun tahun Khairul meninggalkan Azah dan sejak itu Khairul tidak menghubunginya lagi. Dia masih tertunggu-tunggu email atau surat darinya tapi semuanya hampa. Emi pula telah bertunang dengan teman lelakinya yang bekerja sebagai guru di sekolah berdekatan. Sekarang Emi sedang sibuk menyediakan wang perbelanjaaan untuk majlis perkahwinan akhir tahun ini nanti. Sejak menghadiri majlis pembukaan kedai komputer, Azah selalu diajak oleh En. Asbi ke kedai untuk melihat produk komputer yang baru dan selalunya kedai tersebut akan menghadiahkan sesuatu untuk pelanggan yang bertuah. Azah pernah mendapat hadiah sebuah printer kerana menjadi pelanggan yang ke seratus masuk ke kedai itu. Sekarang kedai komputer itu bukan sahaja menjual komputer tapi juga menyediakan kemudahan fotostat layan diri, cyber cafe, menjual buku dan alat tulis. Restoran makanan segera ini berada di sebelah kedai komputer tersebut. Azah baru saja singgah di kedai tersebut untuk membeli ink printer. En. Asbi mengajak Azah untuk makan tengahari di restoran tersebut. Banyak kali juga Azah keluar dengan En. Asbi tetapi hanya untuk makan tengahari atau minum petang di restoran ini sahaja. Sekarang Azah baru sahaja selesai makan tengahari dengan En. Asbi. En. Asbi keluar sebentar untuk bertemu dengan pelanggan yang mencarinya di restoran tersebut. Emi memberitahu yang En. Asbi ini bujang orangnya dan berasal dari negeri ini juga. Dia mempunyai beberapa kedai lagi di beberapa kawasan lain di negeri ini dan di utara Semenanjung. En. Asbi ini memang kelihatan pendiam tetapi rupanya peramah orangnya jika kena dengan caranya. Dia menceritakan berbagai pengalaman yang dialaminya semasa memulakan kedai komputernya yang pertama sehingga berjaya membuka beberapa rangkaian seperti sekarang. Sebelum ini dia bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat permotoran. Asbi datang semula ke meja dan menyambung makan yang belum selesai. ‘Azah, saya nak tanya sesuatu, boleh tak ?’ tanya Asbi perlahan-lahan. Ia meletakkan sudunya dan memegang tuala yang disediakan. ‘Boleh, apa salahnya’ jawap Azah sambil menikmati puding yang disediakan tanpa mengesyaki apa-apa. ‘Azah telah berpunyakah ?’ tanya Asbi bersungguh-sungguh. ‘Ha..ha...ha...sudah !’ sahut Azah sambil menyuap lagi puding yang masih berbaki. Muka Asbi berubah merah padam dan terdiam. Azah perasan perubahan ini dan dia merasakan Asbi serius dengan pertanyaannya. ‘Saya dipunyai oleh ibubapa saya, kalau En Asbi nak tahu’ kata Azah sambil tersenyum simpul. Asbi tergelak mendengarkannya. Ia kelihatan lega dengan jawapan Azah. Azah tersenyum melihat gelagat En. Asbi. Dia tidak sangka berani berseloroh dengan En. Asbi begitu. ‘Azah, apa kata kalau saya ingin mengambil Azah sebagai isteri saya’ kata Asbi memandang tepat ke muka Azah. Azah terdiam dan menelan air liurnya. Azah merasa sangat terkejut mendengarkan pertanyaan tersebut. Dia betul-betul tidak menyangka pertanyaan itu akan keluar dari mulut En. Asbi yang dianggapnya sebagai kawan sahaja. Bahkan segala tindak-tanduk En. Asbi tidak pernah menunjukkan dia ada menaruh hati kepada Azah. ‘Azah, saya tidak main-main ini. Sejak berjumpa dengan Azah, saya rasa Azah sesuai dengan saya. Dulu saya juga pernah bercinta dengan beberapa gadis. Tetapi setelah dikecewakan saya sedar rupa dan gaya tidak menjamin kesejahteraan rumahtangga. Saya bertekad untuk kahwin dengan gadis sederhana dan bercinta selepas kahwin dan gadis itu adalah kamu Azah’ terang Asbi sambil memandang ke jari Azah. ‘Tapi kamu tidak mengenali diri saya sedalam-dalamnya dan saya juga tidak mengenali En. Asbi’ kata Azah cemas. Sebelum kau ucap selamat tinggal
|
Laman Web Puspanita ini dibangunkan oleh Kumpulan Web Puspanita (PWT) bermula pada: 6/10/2006 |