Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Radiotracer

Radiotracer

Teknologi radiotracer telah terbukti sebagai kaedah yang sensitif dalam menyiasat dan menyelesaikan masalah loji proses seperti ketidakfungsian dan keganjilan proses serta kerosakan mekanikal. Teknologi radiotracer digunakan secara meluas dalam bidang industri bagi mengoptimumkan proses, menyelesaikan masalah, meningkatkan kualiti produk, menjimatkan tenaga serta mengurangkan pencemaran. Manfaat teknologi radiotracer ke atas ekonomi dan alam sekitar telah terbukti di sektor industri dan alam sekitar.

 

Apa itu radiotracer?

Penyurih radioaktif atau radiotracer adalah bahan yang mengandungi atom radioaktif yang membolehkan pengesanan dan pengukuran dilakukan dengan lebih mudah.  Ia boleh digunakan untuk meneroka mekanisme tindak balas kimia dengan cara mengesan laluan radioisotop daripada bahan tindak balas kepada produk. Radiotracer ini perlu mempunyai sifat yang serupa dengan produk, dan pada masa yang sama dapat didedahkan dan diukur oleh teknologi yang sesuai.

 

Bagaimana radiotracer berfungsi?

Prinsip bagi radiotracer adalah suntikan denyut-gerakbalas di laluan salur masuk sistem (inlet) dan rekod lengkungan kepekatan-masa di laluan salur keluar sistem (outlet). Data yang diperoleh dari salur keluar sistem boleh dianalisis untuk menyiasat sifat atau tingkah laku bagi sesuatu sistem.

Terdapat empat teknologi radiotracer yang biasa digunakan dalam sektor industri:

  • Pengukuran kecekapan pencampuran homogen secara berkelompok atau proses yang berterusan
  • Pengukuran Agihan Masa Mastautin
  • Pengukuran kadar aliran
  • Pengesanan kebocoran

Di mana radiotracer digunakan?

Radiotracer mempunyai aplikasi dalam pelbagai sektor termasuk sektor perubatan, pertanian, penyelidikan dan pelbagai bidang industri. Radiotracer digunakan secara meluas sebagai kaedah penyiasatan dalam aplikasi perindustrian utama termasuk lapisan terbendalir, penukar haba, bekas pengulang didih, reaktor pencampuran, penghablur gula, reaktor trickle bed, tanur berputar simen, loji rawatan air sisa dan juga komunikasi di lapangan minyak.