Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Tomografi Berkomputer

Apa itu Tomografi Berkomputer (CT)?

Perkataan tomografi berasal daripada perkataan Greek Purba, tomos dan graphō, yang mempunyai makna "kerat" dan "gambaran". Oleh sebab itu, perkataan tomografi bermaksud gambaran secara keratan melalui teknik pengimejan. Tomografi berkomputer (CT) adalah satu proses tomografi menggunakan komputer yang menggunakan sumber radiasi (seperti sinar gamma, x-ray, neutron dan lain-lain) dan juga sumber bukan radiasi (seperti magnet, kapasitans elektrik, inframerah dan lain-lain) untuk menghasilkan gambaran luaran dan dalaman objek yang diimbas, sama ada secara dua dimensi atau tiga dimensi. Ia menggunakan komputer untuk menggabung data atau imej yang banyak dari sudut yang berbeza untuk menghasilkan imej keratan rentas objek yang diimbas, dan membolehkan pengguna untuk melihat di bahagian dalam objek tanpa memotongnya secara fizikal.

 

Bagaimana CT berfungsi?

Tomografi berkomputer (CT) adalah proses pengimejan yang menggunakan peralatan penyinaran khas untuk menghasilkan imej struktur dalaman objek secara terperinci. CT, merujuk kepada prosedur pengimejan berkomputer menggunakan sumber radiasi gama atau x-ray di mana pancaran radiasi ditujukan kepada sampel dan diputar mengelilingi sampel, lalu menghasilkan isyarat yang kemudiannya diproses oleh komputer untuk menjana imej keratan rentas. Imej-imej keratan rentas dihasilkan semasa imbasan CT boleh disusun semula dalam pelbagai satah, dan boleh juga menghasilkan imej tiga dimensi yang boleh dipapar pada skrin komputer, dicetak pada filem atau dipindahkan kepada media elektronik.

Aplikasi CT
Imbasan tomografi berkomputer bukan sahaja digunakan secara meluas dalam bidang pengimejan perubatan untuk mendiagnosis pesakit, malah turut digunakan dalam bidang industri. Pengimbas CT Industri kerap digunakan bagi pemeriksaan dalaman komponen-komponen industri. Beberapa kegunaan utama bagi imbasan CT di bidang industri termasuklah  pengesanan kecacatan, analisa kerosakan, metrologi, analisa pemasangan dan aplikasi kejuruteraan balikan. CT turut digunakan di bidang lain, seperti ujian tanpa pemusnah. Contoh lain adalah dalam bidang arkeologi, seperti pengimejan kandungan sarcophagi. CT juga digunakan bagi pengimejan dan pemuliharaan artifak muzium serta keselamatan pengangkutan, terutamanya keselamatan di lapangan terbang di mana ia digunakan untuk mengesan bahan-bahan berbahaya dan barangan ancaman yang tertentu berdasarkan imej 3D (contohnya senjata api, pisau, dan sebagainya).