Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera

Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera (TNTSGS)

Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera (TNTSGS) adalah satu teknik alternatif untuk menentukan kandungan unsur kuantitatif dan kualitatif bagi pelbagai jenis sampel. Teknik ini adalah sangat berguna untuk mengenal pasti perincian bahan, terutama bagi mengawal kualiti dan keaslian produk atau bahan.

 

Apa itu Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera?

TNTSGS adalah teknik yang sering digunakan untuk menentukan kehadiran dan kandungan unsur bagi sesuatu sampel secara serentak bagi pelbagai saiz (mikrogram sehingga gram). Ia adalah satu teknik tanpa musnah, di mana bentuk kimia dan bentuk sampel tidak begitu penting bagi teknik ini. Tempoh masa yang diambil bagi teknik ini memakan masa dari beberapa minit hingga beberapa jam bagi setiap sampel.

Bagaimana Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera berfungsi?

Kaedah ini menggunakan konsep pengesanan sinar gamma yang dipancarkan oleh sampel semasa penyinaran neutron (Cf-252). Kemudian, kepekatan unsur bagi unsur-unsur yang telah dikenal pasti diambil. Secara umum, teknik ini menggunakan pengukuran sinar gama yang dikesan berikutan reaksi tangkapan neutron oleh unsur-unsur di dalam sampel. Tenaga sinar gama yang dipancarkan mencirikan elemen-elemen ini dan keamatan adalah berkadar dengan kepekatan elemen. Oleh itu, spektrum sinar gamma oleh sesuatu sampel dapat memberikan maklumat kandungan unsur-unsur yang hadir dalam sampel secara kuantitatif dan kualitatif.

 

Di mana Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera digunakan

Kebiasaannya, sampel tidak akan menjadi radioaktif berhayat panjang, dan sampel boleh dialih dari fasiliti dan digunakan untuk tujuan lain. Salah satu aplikasi TNTSGS adalah penganalisis unsur bertali atau penganalisis bahan pukal yang digunakan bagi industri simen, arang batu, arkeologi artifak dan mineral.