Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Pejabat Ketua Pengarah

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), adalah organisasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama dalam bidang sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang terus memainkan peranan aktif dan menyumbang kepada pelaksanaan dan pencapaian dasar-dasar sains dan teknologi kebangsaan, bagi memastikan agensi ini kekal relevan. Melalui kematangan agensi lebih daripada tiga dekad, Nuklear Malaysia telah mampu menghadapi cabaran dan menguruskan perubahan dengan efisien. Selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa, pelan tindakan strategik dan pelaksanaan telah dibangunkan untuk memenuhi misi yang ditetapkan. Nuklear Malaysia memberi penekanan kepada usaha membangunkan potensi modal insan dan juga memastikan semua aktiviti sesuai dengan aliran perdana sains dan kepentingan negara ini.


Perubahan nama daripada Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) kepada Agensi Nuklear Malaysia, dan penyusunan semula organisasi telah membolehkan agensi untuk menyelaraskan semula fungsi dan aktivitinya. Hasil transformasi ini, Nuklear Malaysia kini mempunyai empat program iaitu program penyelidikan dan pembangunan teknologi, program perkhidmatan teknikal, program pengkomersialan dan perancangan teknologi dan program perkhidmatan pengurusan. Penyusunan program ini membantu Nuklear Malaysia untuk memberi tumpuan dalam aktiviti terasnya, serta bersedia menjadi agensi sokongan teknikal jika negara berhasrat menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan elektrik untuk negara.


Perancangan dan Pembangunan Teknologi

Dalam merealisasikan potensi S&T sebagai agen untuk pembangunan ekonomi yang baharu untuk negara, terutamanya dalam menghadapi pasaran yang kompetitif global, Nuklear Malaysia telah menumpukan aktiviti R&D kepada enam bidang keutamaan, bahan termaju, pembuatan termaju, bioteknologi, ICT, alternatif maju tenaga dan nanoteknologi. Melalui ciri-ciri pelbagai disiplin, teknologi nuklear mempunyai keupayaan untuk menawarkan penyelesaian teknikal bagi masalah teknikal yang timbul.

 

Projek R&D yang berorientasikan pasaran bagi menghasilkan produk yang baik adalah untuk menjana ekonomi melalui aktiviti hiliran (downstream). Pelaksanaan projek R&D dipantau dan dianalisis secara berkala untuk memastikan ianya berada di landasan yang betul dan memenuhi sasaran tempoh masa yang ditetapkan. Untuk mengukuhkan pelaksanaan projek dan mengoptimumkan perkongsian sumber, beberapa projek berkaitan telah disatukan ke dalam beberapa projek utama, yang memberi kesan sosioekonomi yang lebih menguntungkan. Dalam hal ini, selain menjalankan penyelidikan bersama secara dalaman melalui sistem matriks, penyelidikan juga dijalankan melalui kerjasama dengan organisasi penyelidikan yang lain.

 

Kerjasama penyelidikan dengan rakan kongsi industri juga telah dipertingkatkan untuk menghasilkan produk penyelidikan yang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna akhir. Oleh itu, usaha telah dibuat untuk memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersialkan melalui pemindahan teknologi dan pelesenan.


Teknologi Pengkomersialan

Usaha telah dilaksanakan untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan yang mempunyai potensi nilai pasaran. Selain dari pengenalan perkongsian perniagaan, inisiatif lain telah dilaksanakan dengan mempromosikan produk melalui penyertaan dalam pameran teknologi dan pameran umum. Nuklear Malaysia juga turut mengambil bahagian dalam pertandingan pameran dan inovasi, dan peluang ini telah digunakan untuk membangunkan rangkaian kerjasama. Dalam kes ini, aktiviti-aktiviti promosi dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) telah diberi perhatian khusus selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan IKS sebagai industri teknologi tinggi yang mampan diri. Beberapa kerjasama telah dimeterai dengan IKS yang terpilih untuk mendapatkan sumber pembiayaan bagi menjalankan aktiviti komersial. Usaha untuk membangunkan tekno keusahawanan tidak hanya terhad kepada syarikat, tetapi juga kepada warga Nuklear Malaysia, yang juga turut diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam latihan itu. Sebagai contoh, Forum Eksekutif diadakan di Nuklear Malaysia, telah menjemput tokoh perniagaan yang terkenal untuk menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan dunia perniagaan dan menggalakkan minat tekno keusahawanan.