Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

SEREMBAN, 16 OKTOBER 2019– Jalinan kerjasama erat antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPN) dan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Negeri Sembilan telah membawa kepada satu sesi perkongsian ilmu menerusi Bengkel Sinaran Untuk Kumpulan Pembantu Makmal Sekolah Menengah di Negeri Sembilan. Siri 1/2019 telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kepayang, Seremban, Negeri Sembilan.

Seramai 50 orang kakitangan makmal telah berpeluang mengikuti bengkel ini dengan pelbagai pengisian menarik antaranya ceramah Pengenalan Agensi Nuklear Malaysia, Teknologi Nuklear dan Aplikasinya, Keselamatan Sinaran, Eksperimen Kebuk Awan, Pengukuran Sinaran dan Simulasi Peralatan Perlindungan Sinaran. Bengkel ini diselaraskan oleh Pegawai Penyelidik daripada Bahagian Sokongan Teknikal (BST) dan Pegawai Penerbitan daripada Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).