Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR,1 OKT 2019 -  Persidangan Antarabangsa Sinaran Tidak Mengion (ICNIR) 2019 bertemakan “5G: Transforming Our Future” telah berlangsung selama tiga hari bermula 1-3 Oktober 2019. Ia merupakan persidangan kali ke-9 diadakan sejak 2009. Persidangan anjuran bersama Agensi Nuklear Malaysia dan Malaysian Radiation Protection Association (MARPA) merupakan sebahagian daripada usaha pihak penganjur untuk menyebarluas beberapa isu berkaitan teknologi 5G yang diperkenalkan di Malaysia.


Menurut Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr. Mohd Abd Wahab Yusof, usaha ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan penggunaan 5G seawal akhir 2021. Ekoran usaha kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia antara negara awal di ASEAN menggunakan 5G, ia secara langsung bakal memanfaatkan rakyat, pihak industri dan kerajaan sendiri.


Sejumlah 17 kertas termasuk lima ucaptama telah dibentangkan dan dihadiri lebih 100 orang penyelidik, ahli akademik dan pemain industri tempatan dan antarabangsa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kemajuan dan perkembangan NIR. Untuk rekod, NIR digunakan dalam pelbagai bidang industri seperti telekomunikasi, pertahanan, pengangkutan, pertanian dan juga hiburan. Kesedaran mengenai isu ini akan meluaskan lagi penggunaan teknologi, pemahaman dan penerimaannya khusus kepada aspek keselamatan dan kesihatan.


Bagi mencapai objektif ini, Nuklear Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan penyelidikan, standard dan garis panduan had dedahan NIR di Malaysia bagi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat Malaysia terpelihara.