Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

ALOR SETAR, 29 SEPT 2019 - Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Bengkel Sains Nuklear untuk guru-guru sains sekolah menengah bagi zon utara di SMK Tunku Sofiah,Alor Setar.

Program yang melibatkan seramai 45 orang guru Sains dan Fizik dari sekitar Alor Setar, Kedah ini merupakan sesi perkongsian berkenaan lima modul berkaitan sains nuklear yang disampaikan oleh para guru daripada sekolah-sekolah sekitar Daerah Pendang, Kedah. Nuklear Malaysia yang diwakili oleh Pn Norzehan Ngadiron dan En Mohd Hafizal Yusof telah bertindak selaku fasilitator yang turut menjayakan bengkel melalui aktiviti pengukuran sinaran latar belakang dan juga Kebuk Awan.

Bengkel ini dijangka dapat membantu guru-guru Sains dan Fizik ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memperkasa Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu. Sekalung penghargaan turut disampaikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah atas kerjasama dalam menjayakan penganjuran Bengkel Sains Nuklear pada tahun ini.