Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

BANGI, 8 SEPT 2019, -  Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Agensi Nuklear Malaysia telah mengadakan satu program senamrobik dan gotong-royong bersempena dengan World Environmental Health Day di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.

Hari Kesihatan Alam Sekitar merupakan sambutan berkonsepkan memberikan kesedaran dan pengetahuan berkenaan kepentingan menjaga alam semula jadi. Tema sambutan tahun ini adalah Climate Change Challenges, Time for Global Environmental Health to Act in Unison. Persekitaran yang terbina mempunyai hubung kait dengan kesihatan manusia sejagat, oleh itu amat penting untuk menjaga alam sekitar. Agensi Nuklear Malaysia sebagai sebuah agensi penyelidikan sentiasa komited dalam memastikan kelestarian alam sekitar bukan sahaja sebagai amalan dalam penyelidikan tetapi penting untuk diterapkan dalam aktiviti harian dalam kehidupan komuniti.

Selain penyertaan daripada ahli keluarga, orang awam turut menyertai senam robik dan mebersihkan kawasan di sekitar Tasik Cempaka. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Dr. Abdul Muin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal dan Dr. Zainon Othman, Pengarah Kanan Program Pengurusan. Sebanyak 20 pokok bunga raya ‘Siti Hasmah Pink Beauty’ telah disumbangkan oleh Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) dan ditanam semasa program tersebut berlangsung sebagai simbolik kepada kesihatan persekitaran.