Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

BANGI, 7 MEI 2018- Pada 27 April 2018, Mesyuarat Terhimpun PUSPANITA Cawangan Kecil Nuklear Malaysia Kali ke-23 telah diadakan bertempat di Bilik Seminar, Blok 11, Nuklear Malaysia.  Mesyuarat yang dirasmikan oleh Dr. Dahlan Bin Hj. Mohd, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi telah dihadiri oleh seramai hampir 160 orang ahli.  Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi PUSPANITA Nuklear Malaysia, Datin Noorlela Binti Nordin dan Pengarah BTS, Dr. Chantara Thevy a/p Ratnam.

Di dalam ucapannya, Dr. Dahlan menyampaikan tahniah kepada PUSPANITA Nuklear Malaysia atas kejayaan melakukan anjakan paradigma yang cukup besar dengan memainkan peranan yang lebih proaktif dan bermakna dengan melibatkan diri dalam pelbagai program secara NBOS bukan sahaja dengan Nuklear Malaysia sendiri bahkan dengan pelbagai agensi lain.  Pelbagai program yang melibatkan PUSPANITA sebagai kolaborator seperti projek MSI – Gitachoc, Pengesanan Kanser Rahim – NBOS bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan LaDIY Healthcare Sdn. Bhd dan Projek MSI – Teh Cendawan di Kg. Rembang Panas membuktikan langkah bijak PUSPANITA Nuklear Malaysia untuk melaksanakan program yang memberi impak kepada masyarakat walau PUSPANITA Nuklear Malaysia sendiri tidak mempunyai dana. Mewakili Ketua Pengarah, beliau juga menyeru dan menggalakkan agar lebih ramai isteri kepada pegawai-pegawai lelaki mendaftar sebagai ahli dan menyertai aktiviti yang dianjurkan PUSPANITA. Hakikatnya, PUSPANITA ini bertindak sebagai platform yang menyatupadukan pegawai wanita dan isteri-isteri pegawai sektor awam dengan menyertai pelbagai program yang dapat melahirkan wanita yang lebih berilmu dan berpengetahuan.