Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 MEI 2018– Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2018 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Mei yang lalu, Dr. Abd, Nassir Ibrahim, mantan Pengarah Bahagian Teknologi Industri (BTI) Agensi Nuklear Malaysia telah menerima Anugerah Perdana Menteri sebagai Tokoh Mahir 2018. Sumbangan beliau memartabatkan Ujian Tanpa Musnah (NDT) bersama Nuklear Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ke tahap sekarang kini dihargai dan pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan kepada beliau dan Nuklear Malaysia amnya.

Selaras dengan sambutan Hari Pekerja 2018 yang bertemakan “Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara”, usaha dan kerja keras beliau berhasil dalam memperkenalkan Skim Persijilan Non Destructive Testing kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran sehingga diakreditasi ISO 17024 oleh Jabatan Standards Malaysia. Selain itu, kepakaran yang dimiliki beliau turut diperakui di peringkat antarabangsa antaranya apabila berjaya mengetuai Project Technical Cooperation International Atomic Energy Agency (IAEA) dalam pembangunan tenaga mahir bidang NDT untuk reaktor nuklear yang menghubungkan Malaysia dengan IAEA.