Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

TAMPIN, 13 APRIL 2018 -Majlis Penyerahan Anak Benih Nanas MD2 dan Bengkel Teknik Mikropropagasi Kultur Tisu Tanaman telah diadakan pada 06 April 2018 bertempat di SMK Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan. Majlis ini merupakan salah satu program sokongan Minggu Sains Negara (1 - 6 April 2018) peringkat Negeri Sembilan. Kenamaan merangkap perasmi yang hadir adalah Datuk Mohd Isam B. Hj. Mohd Isa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gemencheh, YBrs. Tuan Hj. Hamzah bin Hj Abu, Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, YBrs. Dr. Dahlan B. Hj. Mohd, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, guru-guru SMK Taman Indah dan pelajar SMK Taman Indah, Tampin.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Datuk Mohd Isam B. Hj. Mohd Isa, beliau menekankan kepentingan sains dan teknologi dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat pada hari ini. Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Agensi Nuklear Malaysia dan pihak sekolah atas inisiatif memperkenalkan teknologi kultur tisu secara ‘hands-on’ kepada pelajar sekolah SMK Taman Indah Tampin. Dalam lawatannya ke tapak pameran yang dikendalikan oleh Agensi Nuklear Malaysia, Mohd Isam berharap teknologi kultur tisu dan bioreaktor ini akan dapat dimanfaatkan oleh golongan sasaran.

Dalam majlis ini juga, sebanyak 200 anak pokok Nanas MD2 yang dibiakkan melalui teknik kultur tisu telah diserahkan kepada pihak guru dan AJK PIBG sekolah. Datuk Mohd Isam telah mengetuai majlis menanam anak pokok nanas MD2 di plot pertanian sekolah dengan disaksikan oleh para jemputan yang hadir.

Taklimat aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian kepada pelajar dan guru yang terlibat yang disampaikan oleh Pengurus Kumpulan Pembaikbakaan Tanaman, Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Dr. Zaiton Ahmad. Taklimat tersebut menekankan aplikasi teknologi nuklear dalam bidang pembaikbakaan tanaman secara khusus dan juga dalam bidang pertanian secara amnya. Manakala demonstrasi kultur tisu pula telah disampaikan oleh Pn. Norazlina Noordin.