Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Kuala Pilah, 10 April- Projek MSI – Pakej Penanaman Teh Volvariela untuk Pembentukan IKS telah dirasmikan dengan jayanya oleh  Datuk Seri Hasan Bin Malek, mantan ahli Parlimen kawasan Kuala Pilah. Majlis ini telah dihadiri lebih 150 orang pengunjung termasuk Datuk Dr. Mohd Ashhar Hj. Khalid, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, peserta projek, penduduk setempat dan para pegawai dari Nuklear Malaysia, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan MOSTI. Majlis ini merupakan salah satu program sokongan bersempena Minggu Sains Negara peringkat Negeri Sembilan.



Projek dengan kerjasama YIM ini dilaksanakan dengan objektif utama memberi latihan penanaman cendawan Volvariella kepada pekebun kelapa sawit dan getah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.  Tidak terhenti setakat ini, melalui projek ini, latihan intensif diberikan kepada peserta agar dapat memproses cendawan yang ditanam kepada pelbagai produk hiliran terutamanya teh untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.

Perasmian projek ini membuktikan hasrat Nuklear Malaysia yang seiring dengan MOSTI untuk menyediakan pelbagai inisiatif bagi merakyatkan sains termasuklah program MOSTI Social Innovation (MSI).  MSI merupakan satu program merakyatkan sains sehingga ke peringkat akar umbi dengan pengenalan pelbagai projek dan produk yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.