Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

SEREMBAN 2, 9 APRIL 2018 - Suasana meriah dengan gelak ketawa dan jeritan kanak-kanak menghiasi pentas utama Mydin Mall Seremban 2 ketika penganjuran Pertandingan Mewarna yang diadakan bersempena sambutan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan pada 2 April 2018 baru-baru ini.

Penganjuran Pertandingan Mewarna ini adalah bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak menzahirkan kemahiran artistik dan kreativiti mereka melalui mewarna. Pada masa yang sama, Nuklear Malaysia juga ingin meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains dan teknologi melalui pertandingan mewarna ini.

Pertandingan Mewarna ini telah disertai seramai 50 orang pelajar tadika dari beberapa buah tadika di sekitar Negeri Sembilan.Sebelum pertandingan dimulakan, kanak-kanak ini turut berpeluang melakukan senaman ringan berdasarkan lagu kanak-kanak. Pertandingan ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kumpulan A (untuk kanak-kanak berusia empat tahun) dan Kumpulan B (lima tahun) dan Kumpulan C (enam dan tujuh tahun ke atas). Setiap pemenang menerima beg sekolah, hamper dan cenderahati kenang-kenangan daripada Nuklear Malaysia.