Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

REMBAU, 6 APRIL 2018 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) mengorak langkah baru dalam bidang jangkau luarnya dengan program Nuclear Best Friend Forever (Nuclear BFF) yang dilancarkan baru-baru ini. Program dengan kerjasama Yayasan Faqeh itu menerima liputan meluas dan merupakan antara program yang dinanti-nantikan oleh golongan masyarakat istimewa OKU.

Nuclear BFF ini turut dihadiri oleh badan-badan NGO lain yang berkepentingan dalam menguruskan OKU serta pelajar sekolah disekitar daerah Rembau. Antara aktiviti yang disediakan bagi pengunjung istimewa ini adalah Sudut Sains bersama Nuklear Malaysia yang merangkumi pameran teknologi nuklear, demonstrasi kit nyahcemar radioaktif, simulasi setengah hayat, dan pembinaan lastik DIY. Dengan kehadiran melebihi 300 orang peserta serta pengunjung, program ini telah dirasmikan oleh Tuan Daing Muhamad Rahimi bin Abdul Hamid, Timbalan Pentadbir Tanah Daerah Rembau. Turut hadir bersama adalah Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr. Mohd Ashhar Hj Khalid.

Nuclear BFF merupakan salah satu projek dibawah geran MOSTI Social Innovation (MSI) 17111 yang memfokuskan penyampaian maklumat nuklear dan penyediaan aktiviti jangkau luar nuklear yang mesra dengan OKU. Projek ini dijangka akan memberi impak sosial kepada masyarakat golongan istimewa di seluruh negara dengan pelaksanaan menyeluruh di peringkat kebangsaan tidak lama lagi.