Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Radiokimia dan Alam Sekitar


Makmal Radiokimia dan Alam Sekitar (RAS), Agensi Nuklear Malaysia ditubuhkan pada tahun 1984, kini juga menyediakan perkihidmatan analisis radionuklid untuk keperluan kerajaan dan komersial. Makmal ini menawarkan khidmat analisis untuk radionuklid pemancar alfa, beta dan gama dalam berbagai jenis matrik sampel seperti tanah, sedimen, air, makanan, fauna dan flora. Ia merupakan satu-satunya makmal kebangsaan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan ujian pencemaran radioaktif dalam makanan import sekiranya berlaku bencana atau kecemasan nuklear seperti kemalangan nuklear Chernobyl pada April 1986 dan Fukushima Daiichi pada Mac 2011. Makmal ini juga menyediakan perkhidmatan analisis kandungan gros alfa/gros beta dalam air mineral dan air minuman berbungkus bagi memenuhi keperluan pelesenan di bawah Akta Makanan 1983 KKM sebelum dijual untuk penggunaan orang awam. Selain dari itu, makmal ini juga berkeupayaan untuk membuat ujian kecekapan sistem penapisan air menggunakan radioisotop Sr-90 dan Ra-226 sebagai penyurih.  

Makmal RAS mempunyai sistem Pengurusan  dan jaminan kualiti tersendiri di mana ianya telah mendapat akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005 dari Jabatan Standard Malaysia sejak Disember 2005 untuk analisis radionuklid jenis pemancar sinar gama. Untuk radionuklid pemancar sinar alfa dan beta, makmal terlibat/mengambil bahagian dalam aktiviti ujian perbandingan antara makmal yang dianjurkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan lain-lain badan yang kompeten. Kami memahami kepentingan untuk pelanggan kami mempunyai data teknikal yang sah dan tepat yang diperolehi melalui program QA didokumenkan. Oleh itu kami komited dalam memenuhi kehendak pelanggan dengan servis berkualiti tinggi yang lengkap dan menepati masa.

Empat jenis peralatan utama yang digunakan di Makmal RAS untuk pengukuran radionuklid adalah Sistem Spektrometri Gama, Sistem Pembilang Gros Alfa/Gros Beta Berlatarbelakang rendah, Sistem Spektrometri Alfa dan Pembilang Sintilasi Cecair.

 

Sistem spektrometri gama
Sistem spektometri gama digunakan untuk mengukur keaktifan sesuatu radionuklid, berdasarkan kepada nilai tenaga dan keamatan  sinaran gama yang dipancarkan oleh radionuklid. Setiap radionuklid pemancar gama mempunyai nilai tenaga spesifik yang boleh digunakan untuk mengenal pasti radionuklid tersebut. Keamatan sinaran pada nilai tenaga tersebut membolehkan kepekatan keaktifan sesuatu radionuklid dikuantitikan. Contoh-contoh radionuklid yang dapat diukur menggunakan system ini adalah I-131, Cs-134, Cs-137, Ra-226, Ra-228, dan K-40.

 

Sistem pembilang gros alfa/beta berlatar belakang rendah
Sistem pembilang tersebut digunakan untuk mengukur jumlah keaktifan pemancar  alfa / beta dalam suatu sampel seperti air minuman, air mineral, ujian calitan, tanah, dan lain-lain. Sistem ini terdiri daripada pengesan berkadaran aliran gas yang diisi dengan campuran gas metana dan gas argon. Setiap zarah alfa / beta yang dipancarkan daripada sampel akan menyebabkan pengionan molekul gas dalam kebuk pengesan dan menjana denyutan elektrik yang ditukarkan kepada kadar kiraan yang berkadaran dengan kepekatan keaktifan.

 

Sistem spektrometri alfa
Sistem spektrometri alfa digunakan untuk mengukur kepekatan keaktifan radionuklid pemancar alfa seperti Po-210, U-234, U-235, U-238, Th-228, Th-230, Th-232 dan Pu-239 + 240. Sama seperti radionuklid pemancar gama, setiap radionuklid alfa juga memiliki nilai tenaga spesifik yang boleh digunakan untuk mengenal pasti radionuklid tersebut. Keamatan zarah alfa dikesan digunakan untuk mengukur kepekatan keaktifannya. Oleh kerana tenaga zarah alfa radionuklid hanya berbeza antara 10-20 keV, iaitu berhampiran dengan resolusi pengesan silikon, radionuklid tersebut mesti dipisahkan secara kimia dahulu sebelum analisis. Untuk mengelakkan penyerapan sendiri zarah alfa dalam sampel, lapisan nipis sampel disediakan menerusi teknik pemendapan ke atas cakera logam dan diukur dalam kebuk vakum sistem spektrometri alfa.

 

Sistem pembilang sintilasi
Peralatan ini digunakan untuk mengukur keaktifan pemancar beta tenaga rendah seperti H-3, P-32 dan S-35 dalam sampel biologi untuk dosimetri dalaman pekerja sinaran. Sebagai contoh, sampel air kencing dimasukkan terus ke dalam scintillator organik yang akan memancarkan cahaya foton apabila berinteraksi dengan sinaran beta. Keamatan cahaya foton yang dikesan membolehkan penentuan kuantitatif radionuklid dalam sampel.

 

Gamma_Canberra 1

Sistem Spektrometri Gama

Alpha Beta_Ortec

Sistem Pembilang Gros Alfa/Beta Berlatar belakang Rendah

Alpha_Canberra 1

Sistem Spektrometri Alfa

LSC_Packard 2

Pembilang Sintilasi Cecair

Senarai servis yang disediakan oleh Makmal RAS:

No

Jenis Analisis & Radionuklid

Teknik Analisis

1

Pengukuran Cs-134 dan Cs-137 dalam makanan

Pengukuran terus menggunakan Sistem spektrometri gama

2

Pengukuran Am-241 dalam pengesan asap

3

Pengukuran Ra-226, Ra-228 (atau Ac-228), K-40 dll., dalam sampel sekitaran (sedimen, tanah, air, dll.)

5

Tambahan masa pengukuran per analisis

Pengukuran terus menggunakan sistem spektrometri gama untuk sampel bersaiz kecil dari jumlah yang diperlukan

6

Pengukuran gros alfa/beta dalam air mineral

Pengukuran terus menggunakan sistem pembilang gros alfa/beta berlatar belakang rendah

7

Pengukuran gros alfa/beta dalam sampel sekitaran (sedimen, tanah, air, fauna, flora, dll.)

8

Pengukuran gros alfa/beta dalam partikel udara, kertas turas dan ujian calitan

9

Analisis kecekapan sistem penapis air

Teknik penyurih dan pengukuran terus menggunakan Sistem pembilang gros alfa/beta berlatar belakang rendah

10

Pengukuran Po-210 dalam pelbagai sampel

Radiochemical separation and direct measurement using Alpha Spectrometry System

11

Pengukuran U-235, U-234 dan U-238 dalam pelbagai sampel

12

Pengukuran Th-232, Th-230 dan Th-228 dalam pelbagai sampel

13

Pengukuran Pu-239+240 dalam pelbagai sampel

14

Pengukuran Am-241 dalam pelbagai sampel

15

Pengukuran tritium (H-3) dalam urin/air/ais

Teknik penyulingan dan pengukuran terus menggunakan sistem pembilang sintilasi

16

Pengukuran Sr-90 dalam pelbagai sampel

Pemisahan radiokimia dan pengukuran terus menggunakan sistem pembilang gros alfa/beta berlatar belakang rendah

17

Pengeluaran sijil analisa keradioaktifan untuk makanan bagi tujuan pengeksportan

-

18

Pindaan pada sijil atau laporan

-

19

Laporan baru/tambahan salinan

-

20

Penggantian sijil

-

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Ketua Pengarah
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia)
Bangi, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia
(Attn : Encik Ahamad Sahali bin Mardi - Pengarah Bahagian Pengkomesilan Teknologi)
+603-89112000 ext 1621
+603-89252588
sahali[at]nm.gov.my