Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Isotope Ratio Mass Spectrometer (IRMS)


Makmal Isotope Ratio Mass Spectrometer (IRMS) telah dibangunkan pada tahun 1989 oleh Kumpulan Aplikasi Penyurih Alam Sekitar (ETAG) yang pada masa kini berada di bawah Bahagian Teknologi Sisa Dan Alam Sekitar (BAS). IRMS yang pertama yang dikenali sebagai SIRA-10 hanya berupaya untuk mengukur isotop stabil ringan oksigen (18O/16O) dan hidrogen (2H/1H) untuk sampel air sahaja. Kajian asal menggunakan isotop-isotop ini lebih bertumpu kepada sumber air, terutamanya hujan, penerobosan air laut dan air semulajadi. Penggunaan isotop di dalam hujan ialah bagi mengkaji corak meteorologi dan kajian ini adalah jaringan penyelidikan kerjasama dengan IAEA. Kajian di dalam bidang air semulajadi termasuk menentukan sumber imbuhan air tanah, umur takungan air, hubungan di antara air permukaan dan air tanah, punca pencemaran air tanah, tahap percampuran dan menganggarkan masa mastautin sumber-sumber air tersebut. Walaubagaimanapun, skop analisis dan kajian telah diluaskan dengan pembelian IRMS yang baharu pada tahun 2007. IRMS baharu spesifikasi tinggi ini berupaya untuk mengukur hampir kesemua isotop stabil ringan yang utama (hidrogen, karbon, nitrogen, oksigen dan sulfur).

image1

 

Teknik spektrometri jisim nisbah isotop ialah teknik untuk mengukur kuantiti isotop stabil di dalam sampel bagi menentukan ciri-ciri sesuatu sampel termasuk komposisi dan asal. Teknik ini diaplikasikan di dalam IRMS untuk mengukur isotop alam sekitar di mana alat ini mengukur nisbah isotop stabil di dalam sampel seperti hidrogen, karbon, nitrogen, oksigen dan sulfur. Analisis isotop stabil di Agensi Nuklear Malaysia dijalankan dengan menggunakan SERCON GEO 20–20 Continuous Flow Isotope Ratio Mass Spectrometer (CF–IRMS). Spektrometri jisim aliran berterusan ini menawarkan penyediaan sampel secara atas talian/masa sebenar, saiz sampel yang lebih kecil, pantas, analisis yang lebih mudah dan kos efektif.

 

Khidmat Analitikal

Makmal Isotope Ratio Mass Spectrometer (IRMS) di Agensi Nuklear Malaysia menawarkan khidmat analisis isotop stabil ringan kepada kumpulan penyelidik dari dalam agensi, komuniti penyelidik di universiti, agensi kerajaan, industri dan sektor swasta serta mana-mana pihak yang berminat..

Makmal Isotope Ratio Mass Spectrometer (IRMS) kami menyediakan analisis isotop stabil ringan hidrogen (2H/1H), karbon (13C/12C), nitrogen (15N/14N),  oksigen (18O/16O) dan sulfur (34S/32S). Makmal ini memberikan khidmat analisis isotop yang luas merangkumi matriks-matriks sampel seperti air, cecair dan bahan pepejal untuk kedua-dua sebatian inorganik dan organik.

image2

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Ketua Pengarah
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia)
Bangi, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia
(Attn : Encik Ahamad Sahali bin Mardi - Pengarah Bahagian Pengkomesilan Teknologi)
+603-89112000 ext 1621
+603-89252588
sahali[at]nm.gov.my