Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Penyelidikan dan Pembangunan Agen Anti-kanser dan Produk Fitofarmaseutikal Terpiawai

Bahagian Teknologi Perubatan telah terlibat dalam penyelidikan penemuan ubatan dari sumber semula jadi semenjak tahun 2002, dengan focus utama penyelidikan terhadap pembangunan agen anti-kanser dan produk fitofarmaseutikal terpiawai untuk rawatan kanser. Penyelidikan dan pembangunan ini menggabungkan pelbagai bidang kajian seperti pemprofilan fitokimia, pengasingan dan pengenalpastian sebatian aktif, biotinjauan pra-klinikal secara in vitro dan in vivo, kajian toksikologi ramuan farmaseutikal aktif serta kajian formulasi dos. Antara tumbuhan yang giat dikaji adalah duri tujuh (Pereskia bleo), belalai gajah (Clinacanthus nutans), kundang (Bouea macrophylla Griff) dan mas cotek (Ficus deltoidea) dari varietikunstleri, angustifolia, deltoidea dan bilobata. Pemilihan tumbuhan untuk kajian adalah berdasarkan maklumat etnobotani, etnofarmakologi dan kepustakaan sedia ada.

image1
Mas cotek (Ficus deltoidea)

Bagi pembangunan agen anti-kanser, sampel tumbuhan-tumbuhan ini diekstrak menggunakan pelarut akues dan organik, ditapis dan dikeringkan secara pengeringan sejuk beku, pengeringan sembur atau pengeringan vakum . Aktiviti sitotoksik ekstrak-ekstrak tersebut ditentukan menggunakan anak udang dan titisan sel-sel kanser terpilih. Fraksinasi berpandukan bioasai dilakukan ke atas ekstrak yang menunjukkan kesan sitotoksik yang potent dan signifikan, dan sebatian aktif akan dipencilkan menggunakan kaedah kromatografi. Kajian lanjut di peringkat molekul dijalankan ke atas sebatian aktif untuk mengetahui mekanisme tindakan kematian sel kanser. Antara kajian tersebut adalah kajian apoptosis, analisis kitaran sel dan analisis pengekspresan gen. Struktrur kimia sebatian aktif ditentukan menggunakan NMR.

Peralatan-peralatan yang digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan produk fitofarmaseutikal

image2
Accelerated Solvent Extractor (ASE)


image3
Personal evaporator

 

image4
Ultra High Performance Liquid Chromatography   (UHPLC) System

 

image5
Thin Layer Chromatography Scanning and Documentation System

 

image6
Preparative Liquid Chromatography-Fast Centrifugal Partition Chromatography System

 

image7
LC-Triple TOF-MS/MS


image8
High Content Screening System

 

image9
EnSpireâ Multimode Plate Reader

 

image10
Hematology Analyzer

 

image11
Individual Ventilated Cages System

 

Produk fitofarmaseutikal terpiawai akan dibangunkan menggunakan ekstrak akues tumbuhan yang telah terbukti mempunyai aktiviti anti-oksida yang poten dan kesan sitotoksik yang signifikan terhadap sel-sel kanser. Ekstrak akuas ini akan dikeringkan menggunakan kaedah pengeringan sembur. Pembangunan produk dari ekstrak akues adalah lebih baik berbanding produk rebusan atau tinktur kerana kepekatan ramuan farmaseutikal aktif dalam ekstrak akues adalah lebih tinggi.  Ini akan meningkatkan bio-keperolehan dan kesan terapeutik produk Tambahan pula dengan menggunakan ekstrak akues bagi pembangunan produk, kandungan mikrob di dalam produk akan diminimumkan dan ini boleh memanjangkan jangkahayat produk. Manakala, kelebihan menggunakan teknik pengeringan sembur adalah saiz partikel bahan aktif adalah lebih kecil (micron) dan  seragam. Ini akan memudahkan penyerapan bahan aktif melalui usus kecil ke dalam aliran darah, dan akan meningkatkan bio-keperolehan dan kesan terapeutik produk.

image12
Spray dryer

Produk fitofarmaseutikal terpiawai yang telah dibangunkan di Bahagian Teknologi Perubatan adalah DELTOZIDE TABLET 200MG.  Produk fitofarmaseutikal ini adalah berasaskan Mas cotek yang diformulasikan dalam bentuk tablet. Setiap tablet Deltozide mengandungi 200 mg ekstrak akues pengeringan sembur folium Mas cotek sebagai bahan aktif. Keberkesanan dan keselamatan Deltozide fitofarmaseutikal disokong oleh kajian saintifik. Kajian pra-klinikal membuktikan yang bahan aktif Deltozide fitofarmaseutikal mempunyai aktiviti anti-hiperglisemik  dan mempamerkan empat mekanisma utama anti-diabetik iaitu merangsang perembesan insulin didalam sel pankreas, meningkatkan pengambilan glukosa oleh sel-sel adipos dan otot, meningkatkan perembesan adiponektin oleh sel-sel adipos dan melambatkan penyerapan glukosa di dalam usus kecil. Kajian toksikologi yang dijalankan secara in vitro dan in vivo menunjukkan bahawa Deltozide fitofarmaseutikal adalah selamat untuk diambil. Satu ciri unik yang ada pada Deltozide fitofarmaseutikal adalah sifat normo-glisemik, iaitu keupayaan produk ini untuk mengekalkan paras glukosa darah di dalam julat normal. Ciri unik ini beserta dengan sifat anti-hiperglisemiknya membuatkan Deltozide fitofarmaseutikal sangat sesuai digunakan oleh pesakit diabetis sebagai makanan tambahan dan boleh juga digunakan oleh orang normal untuk mengekalkan kesejahteraan dan kesihatan badan secara keseluruhan.

image13
Deltozide Tablet 200MG


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.