English | Bahasa Melayu   
Advertisement
Laman Utama
Profail
Produk & Perkhidmatan
Bahagian R&D
Polisi Antarabangsa
Panduan Pelajar
Pusat Latihan
Penerbitan
Maklumbalas
Pautan lain
Hubungi Kami
August 2010 September 2010 October 2010
Mo Tu We Th Fr Sa Su
Week 35 1 2 3 4 5
Week 36 6 7 8 9 10 11 12
Week 37 13 14 15 16 17 18 19
Week 38 20 21 22 23 24 25 26
Week 39 27 28 29 30

 

Laman Utama arrow Penerbitan arrow FAQ

FAQ
Laman FAQ PDF Print
Soalan 1 Mengapa tenaga nuklear kini menjadi perhatian masyarakat dunia sebagai sumber tenaga masa depan?

Jawapan: Ini disebabkan di kebanyakan tempat di dunia, tenaga elektrik yang dihasilkan daripada loji kuasa nuklear adalah lebih murah berbanding daripada sumber alternatif yang lain. Ia juga disifatkan sebagai ‘teknologi bersih’, iaitu tanpa pembebasan karbon dioksida ke atmosfera.

Soalan 2 Apakah faktor-faktor yang mendorong semakin banyak negara bercadang untuk melaksanakan program tenaga nuklear dalam industri kuasa elektrik ?

Jawapan: Berikut adalah faktor-faktor yang terlibat:

  • peningkatan tahap keselamatan kendaliannya hasil perkembangan teknologi;
  • pemendekan masa pembinaan loji-loji tersebut, iaitu dari 10 hingga 12 tahun menjadi 3 hingga 6 tahun;
  • pemanjangan jangka hayat loji-loji tersebut dari 25 hingga 40 tahun ke 60 tahun
  • peningkatan keberkesanan penggunaan bahan api uranium dalam loji-loji tersebut

Soalan 3 Apakah kelebihan sumber tenaga nuklear?

Jawapan: Secara umum, loji kuasa nuklear mempunyai rekod keselamatan yang sangat cemerlang sejak hampir 60 tahun yang lalu apabila loji kuasa nuklear mula dibina pada tahun 1950-an. Sumber tenaga nuklear mampu: i. menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara kerana semua jenis bahan api nuklear, iaitu uranium, torium atau plutonium, mengandungi tenaga spesifik (specific energy) yang tinggi. ii. keselamatan perbekalan tenaga negara tentunya akan lebih terjamin, terutama dalam keadaan pengurangan (depletion) sumber tenaga yang lain di dalam negara, terutama simpanan atau rizab minyak mentah dan gas asli negara. iii. Dari segi perlindungan alam sekitar, kadar penghasilan gas rumah hijau atau karbon (carbon burden) yang jauh lebih rendah bagi setiap unit kuasa elektrik yang dijana, dan berjaya mengurangkan kira-kira 8% daripada jumlah penghasilan karbon dioksida dunia berbanding dengan sumber tenaga lain. Keseluruhan rantaian bagi penjanaan kuasa nuklear (production chain) daripada perlombongan uranium sehingga kepada pelupusan sisa nuklear hanya menghasilkan di antara 1 hingga 6 g karbon bagi setiap kilowatt-jam elektrik.

Soalan 4 Berapakah kuasa elektrik yang dijanakan oleh sebuah loji kuasa nuklear secara am?

Jawapan: Secara am loji kuasa nuklear menjana kuasa elektrik di antara 500 MWe hingga 1500 MWe. Pada tahun 2007, purata penjanaan kuasa elektrik yang dihasilkan oleh sebuah loji kuasa nuklear adalah 850 MWe.

Soalan 5  Berapa banyakkah loji jana kuasa nuklear yang sedang beroperasi diseluruh dunia?

Jawapan: Terdapat 439 buah loji jana kuasa nuklear yang beroperasi di 30 buah negara di seluruh dunia. Peratusan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh loji kuasa nuklear ini adalah 17% daripada jumlah keseluruhan tenaga elektrik dunia.

Soalan 6 Apakah perkembangan penjanaan kuasa nuklear di dunia?

Jawapan: Sehingga 30 Ogos 2007, sejumlah 439 buah loji nuklear dengan jumlah keupayaan 371,671 MWe sedang beroperasi di 30 buah negara, di samping 30 buah loji lagi dengan jumlah keupayaan 23,414 MWe yang masih dalam pembinaan di 12 buah negara. Selain itu, 41 buah loji lain dengan anggaran jumlah keupayaan 43,000 MWe sedang dirancang di 11 buah negara, manakala 113 buah loji lain dengan jumlah keupayaan 82,000 MWe turut dicadangkan.

Soalan 7 Adakah loji kuasa nuklear pada masa ini boleh digunakan bagi aktiviti selain daripada penjanaan kuasa elektrik?

Jawapan: Secara am, loji kuasa nuklear hanya boleh digunakan bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik kerana ia akan sentiasa dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melalui aktiviti safeguard dan tertakluk kepada Perjanjian Ketakcambahan (NPT). Walau bagaimanapun terdapat loji kuasa nuklear yang tidak tertakluk kepada NPT dan boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Soalan 8 Selain menghasilkan tenaga elektrik, adakah teknologi nuklear dapat digunakan untuk tujuan lain?

Jawapan: Selain daripada menghasilkan tenaga elektrik, loji-loji kuasa nuklear generasi keempat ini mampu menghasilkan hidrogen cecair yang boleh diedarkan melalui sistem paip untuk digunakan sebagai bahan api gantian petroleum bagi sektor pengangkutan, industri, domestik, komersial dan juga sektor-sektor lain. Hidrogen cecair ini juga boleh digunakan sebagai bahan dinginan kriogenik (cryogenic coolant) untuk talian penghantaran elektrik berkeupayaan tinggi yang berasaskan superkonduktor.

Soalan 9 Berapakah pecahan tenaga yang dihasilkan oleh loji jana kuasa nuklear berbanding loji-loji jana kuasa lain?

Jawapan: Pada 2005 loji-loji nuklear yang beroperasi dianggarkan menyumbang 20% daripada jumlah penjanaan kuasa elektrik seluruh dunia pada tahun 2005, berbanding dengan 48% bagi arang batu, 7% bagi kuasa hidro, 15% bagi gas asli , 7% bagi minyak dan petroleum dan 3% tenaga boleh diperbaharui. Keadaan ini berbeza dengan situasi Malaysia, yang bergantung pada gas asli bagi 62% daripada jumlah penjanaan elektrik negara dalam tahun 2005, berbanding 28% bagi arang batu, 7% bagi kuasa hidro dan 3% bagi minyak dan petroleum.

Soalan 10  Apakah alternatif lain selain teknologi nuklear dalam penghasilan tenaga elektrik?

Jawapan: Ya, bagi loji jana kuasa berskala besar, arang batu dan gas biasa digunakan sebagai bahan api bagi mendapatkan bekalan elektrik secara berterusan dan stabil. Arang batu mudah diperolehi dan secara relatifnya adalah murah. Namun begitu, bagi setiap 1 kilowatt-jam tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan arang batu, sejumlah 1 kilogram karbon dioksida terhasil. Penggunaan gas sebagai bahan bakar pula bergantung kepada harga pasaran yang tidak menentu . Penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), contohnya kuasa angin, walaupun bersih, namun ia tidak dapat membekalkan tenaga elektrik secara berterusan.

Soalan 11 Apakah tahap penggunaan tenaga nuklear di Malaysia dan apakah bidang-bidang dan perbandingan penggunaan dengan negara-negara lain di dunia?

Jawapan: Penggunaan tenaga nuklear di Malaysia selama ini hanya tertumpu untuk tujuan keamanan, dalam bidang-bidang yang selain daripada penjanaan kuasa elektrik, khususnya dalam bidang-bidang perubatan, perindustrian, pertanian dan pemeliharaan alam sekitar. Penggunaan seperti ini adalah lazim bagi kebanyakan negara membangun dan adalah berbeza daripada negara-negara maju yang lebih tertumpu kepada penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan kuasa elektrik.

Soalan 12 Bagi rantau Asia Tenggara, negara manakah yang mempunyai perancangan untuk membina loji tenaga nuklear?

Jawapan: Di kalangan negara-negara di Asia Tenggara, Indonesia telah mengambil keputusan untuk membina 4 buah loji jana kuasa nuklear dengan jumlah keupayaan 4,000 MWe menjelang tahun 2016, sementara Vietnam akan membina 2 buah loji kuasa nuklear dengan jumlah keupayaan 2,000 MWe menjelang tahun 2018, dan Thailand akan membina 2 buah loji kuasa nuklear dengan keupayaan 2,000 MWe menjelang tahun 2021.

Soalan 13 Adakah Malaysia bersedia ke arah penggunaan tenaga nuklear dari segi pembangunan modal insan?

Jawapan: Ya, beberapa langkah bagi memantapkan pembangunan modal insan telahpun dilakukan, di mana seramai 322 Pegawai Penyelidik yang terlatih dalam pelbagai bidang teknologi nuklear dan juga teknologi yang berkaitan. Selain daripada itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah merancang dan melaksanakan pelbagai program dengan kerjasama agensi-agensi kebangsaan dan antarabangsa yang lain. Program-program ini termasuk dalam aspek-aspek berikut: i. Mendapatkan kerjasama luar untuk mengadakan latihan dalaman mengenai kuasa nuklear; iaitu latihan asas sehingga peringkat pakar, secara berperingkat untuk kakitangan terbabit sebagai persediaan negara untuk membangunkan loji jana kuasa nuklear di masa hadapan; ii. Menghantar kakitangan terbabit untuk latihan luaran yang dianjurkan oleh negara-negara lain yang mempunyai loji kuasa nuklear dan badan-badan antarabangsa yang berkaitan seperti Agensi Tenaga Atom Antarabagsa (IAEA), Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA) dan Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Penyelidikan, Pembangunan dan Latihan berkaitan dengan Sains dan Teknologi Nuklear di Asia dan Pasifik (RCA); iii. Mendapatkan kerjasama luar untuk kursus kuasa nuklear berkumpulan dalam Malaysia dan tempat untuk latihan individu jangka sederhana dan panjang di luar negara; dan, iv. Mencadangkan bidang pengajian sains dan kejuruteraan nuklear diwujudkan di Institut Pengajian Tinggi Malaysia, menyediakan draf struktur kursus ijazah bidang kuasa nuklear, mengkaji serta menyediakan rangka dan mata pelajaran bagi kursus ijazah, profesional dan separa profesional berkenaan dengan kuasa nuklear, dan akhir sekali menyenaraikan tenaga pengajar pakar dalam bidang ini dari seluruh dunia. Pada tahun 2007, Senat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuat keputusan untuk menubuhkan Fakulti Sains dan Kejuruteraan Nuklear dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bercadang untuk menawarkan bidang kejuruteraan nuklear pada peringkat sarjana. Sehubungan dengan itu kedua-dua universiti tersebut telah meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membantu merancang kursus ijazah kuasa nuklear dan mengkaji serta menyenaraikan mata pelajaran yang sesuai dan mendapatkan khidmat tenaga pengajar di kalangan pakar dari seluruh dunia untuk bidang sains dan kejuruteraan nuklear. Setelah itu, timbul minat institusi-institusi pengajian tinggi tempatan lain untuk memulakan kursus pengajian sains dan kejuruteraan nuklear di universiti mereka.

Soalan 14 Adakah perlaksanaan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia akan ditentang oleh pihak-pihak tertentu di luar negara (Amerika Syarikat, Persekutuaan Russia, Perancis, China, Kanada, Argentina dan Brazil) ?

Jawapan: Tidak. Malaysia melaksanakan program tenaga nuklear untuk tujuan bekalan kuasa elektrik, kerana Malaysia bukan sahaja telah menandatangani triti dan perjanjian yang membuktikan bahawa negara ini telah menolak sama sekali sebarang hasrat untuk membangunkan senjata nuklear, tetapi juga telah mempelopori inisiatif antarabangsa untuk mengharamkan pembangunan, pemilikan atau pun penggunaan senjata nuklear oleh semua pihak. Amerika Syarikat, Persekutuaan Rusia, Perancis, China, Kanada, Argentina dan Brazil telah menjalin kerjasama dua hala bagi membantu Malaysia membangunkan keupayaan untuk melaksanakan program penjanaan tenaga nuklear kelak, terutamanya dari segi pembangunan modal insan dan kepakaran berkenaan.

 
 

Disclaimer The Government and Malaysian Nuclear Agency, MOSTI shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Companies referred to in this website shall not be construed as agents nor as companies recommended by the Malaysian Nuclear Agency, MOSTI.